Sunday, 29 November 2015

Saya sekadar berkongsi bakal dapat anak kedua - Black

GAMBAR yang dimuat naik oleh Black di laman Instagram. - Foto ihsan Instagram Black

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black menjelaskan tindakan beliau memuat naik gambar ujian alat kehamilan isterinya, Naquia Yasirah sebagai berkongsi saat indah dalam hidupnya kepada umum.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 28, berkata, beliau akan membawa isterinya berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai keputusan ujian alat kehamilan itu.

"Saya tahu pasti ada pihak yang mempertikaikan tindakan saya memuat naik gambar keputusan alat kehamilan itu kerana belum berjumpa doktor lagi. 

"Namun, kami sudah menjalani ujian kehamilan itu sebanyak dua kali dan yakin ia tepat," katanya kepada BH Online sebentar tadi.

Sesetengah peminat dikatakan kurang sedang dengan tindakan memuat naik gambar keputusan ujian kehamilan isterinya itu di media sosial yang disifatkan masih terlalu awal.

Menurut Black, mengikut pengiraan Naquia Yasirah atau dipanggil sebagai Cira, isterinya sedang hamil kira-kira sebulan lebih. 

"Saya memilih untuk memuat naik gambar itu kerana ingin orang ramai sama-sama mendoakan perkara baik buat kami sekeluarga dan supaya semuanya berjalan lancar.

"Bagi saya tiada apa yang ingin disorokkan. Benda baik harus dikongsi bersama umum kerana mereka akan turut sama bergembira dengan cerita saya bakal mendapat cahaya mata kedua. 

"Masih terlalu awal untuk meneka sama ada kandungan itu lelaki atau perempuan. Lebih manis sekiranya Cira mengandung bayi perempuan kerana saya akan mendapat sepasang cahaya mata. Namun pucuk pangkalnya, yang penting kandungan itu sihat," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Black bakal berentap di pusingan Separuh Akhir Muzik Muzik mempertaruhkan lagu Mana Mungkin esok. Selain sibuk dengan latihan untuk bertanding esok, jadual kerjanya turut padat dengan komitmen untuk program Juara Parodi.

Pelantun lagu Teman Pengganti itu berkongsi, beliau terpilih sebagai mentor untuk rancangan baharu kelolaan TV3 berjudul Mentor Milenia. Selain Black, program itu turut menampilkan Hazama dan Akim Ahmad sebagai mentor untuk mendidik tiga orang protege.

"Saya baru saja dimaklumkan mengenai program Mentor Milenia itu. Buat masa ini fokus diberikan sepenuhnya terhadap Juara Parodi namun saya begitu teruja untuk berkongsi ilmu kepada anak-anak muda yang berbakat dan ingin menceburi bidang nyanyian.

"Mereka yang berminat untuk menjadi protege saya boleh menghadiri sesi uji bakat pada 26 Disember ini bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam bermula pada jam 10 pagi. Penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur antara 17 hingga 21 tahun," kata Black.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment