KOTA BHARU – Angkara didakwa menerima suapan RM10,000 daripada seorang individu yang mahu dilepaskan berkait satu kes kecurian kereta, seorang inspektor polis ditahan reman seminggu di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Perintah reman terhadap pegawai berusia 25 tahun itu dikeluarkan mahkamah bagi membolehkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.
Suspek yang bertugas di Kota Bharu ditahan di satu kawasan di Rantau Panjang oleh SPRM pada jam 5 petang, semalam.
SPRM bertindak selepas menerima aduan pengadu yang mengatakan suspek pada mulanya meminta wang suapan sebanyak RM15,000, bagaimanapun pengadu hanya mampu menyediakan wang RM10,000 dengan tujuan dibebaskan.
Suspek sebelum ini pernah ditahan SPRM Kelantan, Januari lalu atas kesalahan sama berkaitan satu kes rogol dengan dia dikatakan menerima suapan sebanyak RM3,000. Ketika itu, inspektor terbabit bertugas di sebuah IPD juga di negeri ini.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban mengesahkan tangkapan terbabit.
“Tangkapan terbaru ini menjadikan seramai 34 individu ditangkap SPRM tahun ini dan 11 daripadanya adalah anggota polis,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment