Friday, 13 November 2015

Masalah rumah tangga, ..sikit saja lagi - Maya

PENYANYI, Maya.

KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan penyanyi lagu Matahari, Maya baru-baru ini ketika pelancaran buku Rahsia Hidup dari syarikat Jamu Mak Dara di Saloma Bistro, turut mengintai perkembangan berhubung keretakan rumah tangganya dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz. Hingga saat ini selepas dilihat seperti digantung tak bertali, Maya terus mengunci mulut. 

Maya sebelum ini menjelaskan dia dan suami sudah tidak tinggal sebumbung dan kemelut rumah tangganya sudah lama berlarutan. 

"Mengenai masalah peribadi itu, sekarang ia hampir selesai. Sikit saja lagi. Berkemungkinan beberapa hari lagi atau minggu. Saya tunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya. Apa terjadi sebelum atau selepas ini, saya kena pandang ke hadapan," katanya memberikan bayangan mengenai status sebenar dirinya. 

Tambah Maya lagi, masalah peribadi yang berlaku antara sebab beberapa perkembangan dan projek seninya terbantut buat seketika. 

"Ikutkan single saya bersama Saida berjudul Setia sudah dilancarkan lebih awal sekitar awal tahun lagi. Tapi dengan masalah ibu saya sakit angin ahmar, terbabit dengan teater dan hal peribadi ini, ada benda yang terbantut. Tapi single itu sudah akan dipromosikan tak lama lagi. Malah klip video juga akan dirakamkan tak lama lagi. 

"Kali terakhir saya merakamkan single sekitar empat tahun lalu. Ada dua single ketika itu berjudul Mata dan Bersalah. Cuma mungkin silap sendiri, lagu itu bagaikan berlalu sepi. Ia kurang promosi dan saya harus akuinya. Video muzik pun tak rakam. Aliran sekarang, lagu baharu perlu disokong dengan video muzik di laman YouTube contohnya," katanya.

Ditanya mengapa memilih untuk berduet dengan Saida, mereka kebetulan selalu membuat persembahan bersama. 

"Daripada persembahan itu, nampak keserasian kami. Malah dia juga menjadi rakan kongsi untuk projek syarikat kami. Single ini bukti kami masih aktif dan wujud di persada seni,"katanya. 

Akhir pertemuan, Maya turut ditanya mengenai sama ada tahun depan dia akan menyertai pertandingan GegarVaganza atau tidak? Untuk musim ini, Maya turut menghadiri uji bakat cuma rezekinya belum ada tahun ini.

"Tak tahu lagi tahun depan saya akan menyertai pertandingan ini atau tak. Hal ini tak boleh dijangka. Mungkin sekarang saya berminat, tahun hadapan tak tahu pula. Tapi buat masa sekarang, saya menyokong teman yang menyertainya. GegarVaganza memang platform yang baik bagi penyanyi lama yang mungkin sudah dilupakan. Ini ruang untuk mereka kembali menarik perhatian ramai dan tunjukkan bisa masing-masing," katanya.

- Sumber: BH Online | 13 November 2015

No comments:

Post a Comment