Sunday, 18 October 2015

Ujian paling besar dalam hidup

Mohd Mubassyir membantu bapanya, Ustaz Yeh yang masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan bantuan tongkat bagi membolehkan dia berjalan.

BACHOK – "Saya nampak ribut pasir dari tingkat dua tempat solat beberapa saat sebelum kren runtuh." Cerita Mat Deris Mohd Noor, 62, atau mesra dipanggil Ustaz Yehyang cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah September lalu.

Katanya, ketika kejadian, dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar sebelum terdengar dentuman kuat di bahagian luar masjid dan menyedari bahagian kepalanya tercedera akibat terkena batu.

“Saya sempat tengok ribut kuat dan hujan baru saja turun. Tiba–tiba bunyi dentuman kuat dan kepala saya ditimpa batu mungkin akibat runtuhan bangunan itu. Lepas tu saya tak sedarkan diri sehinggalah di Hospital King Abdul Aziz.

“Isteri yang datang bersama pun saya tak tahu di mana. Seumur hidup saya inilah ujian yang paling besar saya rasakan. Perlukan kesabaran yang tinggi untuk semua yang terlibat dalam tragedi ini,” katanya.

Detik mencemaskan yang masih segar dalam ingatan itu dikongsi kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherang Sepulai, semalam.

Ustaz Yeh ketika ditemui baharu sahaja tiba di rumahnya selepas selamat tiba dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Terengganu.

Dalam tragedi itu Ustaz Yeh mengalami kecederaan di kepala dan patah paha kanan. Kepalanya mengalami berbelas jahitan dan pahanya dimasukkan besi, manakala isterinya mengalami kecederaan ringan.

“Alhamdulillah kami dapat buat haji dengan baik walaupun sesetengahnya perlu upah orang seperti untuk melontar jamrah di Mina.

“Walaupun tak dapat solat berjemaah selepas itu kerana kami perlu solat sendirian dalam bilik, kami reda dengan ujian ini dan amat bersyukur kerana kami pulang dengan selamat,” katanya yang tiga minggu berada di hospital.

Untuk tempoh ini, ustaz Yeh perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital memandangkan masih terdapat besi di dalam pahanya.

Anak sulungnya, Mohd Mubassyir,30, berkata, dia amat bersyukur kerana ibu bapanya selamat pulang dan sedikit jamuan kesyukuran diadakan semalam.

“Kami bersyukur semuanya selamat dengan iringan doa semua saudara mara, rakan- rakan dan anak- anak murid ayah. Kami buat jamuan kesyukuran ringkas untuk mereka yang terdekat sempena kepulangan ibu bapa kami,”katanya.

Difahamkan, ini adalah ibadah haji Ustaz Yeh yang ketujuh apabila sebelum ini dia mengerjakan haji setiap tahun ketika belajar di Arab Saudi dari 1978 hingga 1983.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment