Thursday, 30 July 2015

Tunku Hanis selesa 'low profile'


NAMA Tunku Hanis mungkin kurang dikenali di kalangan peminat seni tempatan.

Meskipun begitu pelakon berusia 25 tahun ini sebenarnya sudah melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak tujuh tahun lalu.

Malah dia mengakui dirinya sememangnya kurang mendapat perhatian berbanding pelakon wanita sedia ada.

"Saya bukan jenis yang suka pergi ke majlis-majlis seni. Bukan kerana sombong tetapi saya rasa sayang jika diri dan masa saya dicuri untuk perkara-perkara lain.

"Sehingga adakala saya terlupa, saya juga selebriti dan perlu terima keadaan itu kerana telah memilih bidang ini," katanya.

Jelasnya, dia juga lebih selesa bersikap 'low profile' kerana tidak mahu terlalu fokus terhadap bidang ini.

"Saya sendiri mempunyai syarikat yang menguruskan majlis dan acara-acara tertentu.

"Jadi saya tidak mahu pelanggan yang berurusan dengan saya cenderung bekerja dengan saya kerana saya seorang artis, sebaliknya biarlah perniagaan itu berjaya tanpa guna atau menjual nama saya," jelasnya.

Dalam pada itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah telenovela berjudul Memori Cinta Suraya.

Telenovela yang mengambil 148 episod itu memerlukan Tunku Hanis memainkan peranan sebagai seorang isteri, yang mana suaminya jatuh cinta kepada wanita lain.

"Untuk drama ini saya menjadi isteri kepada Iqram Dinzly. Walaupun sebelum ini saya dikenali dengan watak antagonis tetapi menerusi watak ini saya menjadi seorang model yang mementingkan penampilan," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai peranan antagonis yang sering diberikan padanya, katanya, dia tidak kisah dilabel wanita jahat kerana ia membuktikan dia berjaya bawa peranan itu dengan berkesan.

"Selagi tidak menjejaskan diri saya, saya okey sahaja," katanya yang kini di tahun akhir dalam jurusan pengurusan perniagaan di sebuah IPTA tempatan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment