Gambar kenangan arwah Saddam Hussein pada hari pertunangannya bersama Nur Farisya 27 Mac lalu.
BACHOK - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak sempat melangsungkan perkahwinannya yang dijangka diadakan pada Aidiladha nanti apabila dia terlibat dalam kemalangan maut di kira - kira jam 9 malam Jumaat lalu.
Saddam Hussein Mohamad Saberi,24, baharu sahaja melangsungkan pertunangan bersama gadis pilihannya, yang berasal dari Kampung Citajaya, Batu 6 Tanah Merah, Nur Farisha Ayuni Zulfatah,22, pada 27 Mac lalu.
Arwah baru sahaja tiga tahun bertugas di KD Sultan Idris, yang berpengkalan di Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.
Nur Farisya berkata, kali terakhir dia bertemu arwah ialah Selasa lalu dan tiada perubahan ketara yang ditunjukkannya.
"Kali terakhir kami bertemu di Gelang Patah Selasa lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara. Namun arwah agak kurang bercakap dan saya anggapkan mungkin dia keletihan kerana kerja.
"Malam kejadian pun arwah ada telefon saya dan hanya mengadu agak penat sebelum saya dikhabarkan berita mengenai kemalangan pada jam 11.27 malam Jumaat lalu," katanya yang juga bekerja di Johor.
Nur Farisya berkata, arwah seorang lelaki yang amat baik dan menghormati keluarga dan orang tuanya.
Difahamkan, Saddam Hussein tinggal bersama datuknya, Ahmad Idris dan keluarga bapa saudaranya, Ab Rahman Ahmad,41.
Manakala, bapa saudaranya, Ab Rahman ketika ditemui di kediamannya berkata, arwah rapat dengan keluarga dan hampir setiap malam menelefon keluarga di kampung.
"Paling lama kami tidak berhubung pun tiga hari sahaja. Dia akan telefon saya selang satu malam. Malam sebelum kejadian pun kami ada berbual biasa dan tak ada sebarang perubahan dalam percakapannya.
"Arwah memang rapat dengan kami kerana dia tinggal bersama kami sejak kecil selepas ibu bapanya berpisah. Jenazah arwah tiba jam 3 pagi semalam dan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Repek selepas Subuh tadi (semalam)," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada 9.40 malam 7 Mei lalu, arwah Saddam Hussein dikatakan keluar menunggang motosikal bersama rakannya, Sariman Said,24, untuk keluar makan malam.
Bagaimanapun, ketika tiba di depan kuarters guru Pengerang, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah motosikal orang awam.
Saddam Hussein tidak sedarkan diri dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan seterusnya ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi 8 Mei.
Manakala, rakannya, Sariman Said yang berasal dari Kampung Bakong, Pasir Mas kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad Melur Lelaki.
Hasil pemeriksaan mendapati beliau mengalami kecederaan patah tangan kiri, patah tulang rusuk kiri ketiga dan jahitan di bibir dan dahi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment