Nazir Razak
SHAH ALAM - Pengerusi CIMB Group Bhd, Datuk Seri Nazir Tun Razak menegur syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang tidak mengambil usaha dalam menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap dana kewangan badan itu.
Menurut beliau, lembaga yang bertanggungjawab terhadap badan tersebut sepatutnya melantik juruaudit bebas untuk mengesahkan akaun urus niaga yang berkaitan dengan kedudukan kewangan 1MDB dan bukannya menunggu tindakan dari Ketua Audit Negara (AG).
“Pihak yang bertanggungjawab perlu melantik seorang juruaudit bebas sekarang... Kalau tidak, lembaga pengarah dan pengurusan (pada pandangan saya) perlu meletak jawatan.
"Ia adalah tanggungjawab asas dalam setiap pemimpin bagi sesebuah badan atau perlembagaan. Jika ada unsur penyelewengan atau sebagainya terhadap sistem kewangan, mereka harus bertanggungjawab terhadap perkara tersebut. Tetapi sebaliknya, mereka hanya tunggu tindakan dari AG,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal berita tempatan hari ini.
Laporan dari Singapura semalam menyatakan bahawa sebuah konsortium bank-bank yang diketuai oleh Deutsche Bank telah meminta untuk membayar balik pinjaman empat bulan lebih awal daripada tarikh yang sewajarnya.
Menurut laporan itu, pemberi pinjaman mula gelisah selepas keraguan timbul mengenai cagaran pinjaman yang diadakan di sebuah bank asing yang berpangkalan di Singapura.
"Lebih baik mereka letak jawatan dan biarkan orang lain masuk dan ambil alih 1MDB,” katanya lagi.
1MDB merupakan sebuah dana yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Presiden dan Pengarah Eksekutif kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, pihaknya tidak dapat mengulas mengenai pembayaran balik isu bon US $ 975 juta (RM5.1 bilion) kerana ia berkaitan dengan perkara-perkara perbankan sulit.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment