KOTA KINABALU - Usaha meningkatkan secara besar-besaran standard operasi pemantauan dan perisikan diperlukan untuk menghalang daripada berlakunya lagi kes penculikan di Sabah, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, usaha meningkatkan standard operasi pemantauan dan perisikan perlu dilakukan dengan kadar segera kerana ia perlu bagi melindungi keselamatan rakyat.
"Jika tidak ia akan menjejaskan keyakinan rakyat pada sistem keselamatan kita, dan kemampuan menangani pengganas termasuk kesemua unsur asing yang memberi kesan kepada keselamatan negeri dan orang awam," beliau memberitahu wartawan selepas taklimat media mengenai Sambutan Perayaan Tadau Kaamatan peringkat negeri di sini hari ini.
Malam tadi, seorang lelaki dan wanita tempatan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari sebuah restoran makanan laut terkemuka di Sandakan, di Jalan Bokhara, Pasir Putih, kira-kira tiga km dari bandar itu.
Dalam kejadian pukul 7.26 malam pada Khamis, mangsa Thien Nyuk Fun, 50 dari Taman Mawar, Jalan Sibuga, Sandakan dan seorang perunding dari Kuala Lumpur, Bernard Then, 39, diculik di Restoran Ocean King oleh empat lelaki berpakaian celoreng menggunakan bot laju.
Kecewa dengan kes penculikan terbaharu ini, Ongkili berkata kerajaan telah berusaha sedaya upaya termasuk mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan membekalkannya dengan aset untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin tetapi penculikan masih berlaku dan sekarang "berlaku di hadapan mata".
"Saya fikir ada sesuatu yang tidak kena. (Kerana itu) kita perlu naik taraf secara besar-besaran (standard operasi) dalam pemantauan dan perisikan. Saya percaya Esscom mempunyai kemampuan melakukannya tetapi sistem perlu ditambah baik.
Ini adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat terutamanya dalam industri pelancongan," kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu.
Ditanya sama ada perintah berkurung patut dilaksanakan di daratan, Ongkili berkata:"Saya fikir ia tidak praktikal. (Kita) cuma (perlu) lebih pemantauan, lebih banyak pasukan keselamatan yang aktif bertugas supaya orang asing takut (untuk menceroboh)," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment