Tuesday, 5 May 2015

Diugut bekas kekasih 'gila talak'

KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu sayang, seorang lelaki bertindak mahu mencederakan bekas kekasih sekiranya enggan berjumpa, kerana tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta dibina hampir setahun, berakhir begitu sahaja.

Suspek berasal dari Kemaman itu turut mengganggu hidup mangsa, 26, yang tinggal di Wakaf Tapai, Marang termasuk menghubungi mangsa di tempat kerja, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif jualan, hidup dalam ketakutan selepas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan suspek pada April lalu.

Katanya, suspek dipercayai tidak dapat menerima keputusan itu dan berkelakuan seperti ‘gila talak’ apabila sering mengajak mangsa keluar, tetapi mangsa menolak dengan baik selain merayu suspek supaya tidak mengganggu hidupnya lagi.

“Namun, suspek tidak berputus asa dan terus mengganggu mangsa termasuk pernah menghubunginya di tempat kerja kononnya bagi memujuk mangsa berbaik semula.

“Setelah hampir sebulan mencuba, suspek yang bengang kerana mangsa masih berkeras hati dan tidak mahu menuruti kemahuannya, mengugut akan mencederakan mangsa selain mahu menyebarkan gambar mereka,” katanya.

Kata Wan Abd Aziz, ugutan suspek itu menyebabkan mangsa ambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Wakaf Tapai, kelmarin.

Katanya, mangsa yang difahamkan sering berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuantan atas urusan kerja, bimbangkan keselamatannya berikutan gangguan suspek itu.

“Identiti suspek sudah dikenal pasti. Kita percaya suspek akan ditahan dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment