Tuesday, 14 April 2015

Laluan khas basikal pertama di ibu kota kini dibuka


Laluan khas basikal pertama di Kuala Lumpur sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley, Bangsar, kini dibuka kepada umum.

KUALA LUMPUR: Laluan khas basikal yang pertama di Kuala Lumpur sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley, Bangsar, kini dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Perasmian laluan tersebut disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang berbasikal menyusuri laluan tersebut bermula di Mid Valley bersama penunggang lain pada pagi Selasa.

“Saya berharap laluan basikal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak disalahgunakan,” kata Ahmad Phesal dalam sidang media pelancaran laluan khas tersebut di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pembangunan laluan khas menyusuri Sungai Klang, Brickfields, pekarangan Kompleks Dayabumi dan seterusnya Lebuh Pasar Besar itu dimulakan pada 2013 dan menelan belanja sekitar RM700,000.

Langkah ini bertujuan menggalakkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas setiap hari, selain usaha mengurangkan kadar pencemaran di Kuala Lumpur.

Selain itu, ia dapat menyemarakkan budaya berbasikal dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya yang tinggal di ibu kota, sejajar pelaksanaan Fit Malaysia dalam membentuk negara yang lebih sihat dan cergas.



Sementara itu, dalam sidang media pada majlis tersebut, Ahmad Phesal berkata dua lagi projek laluan basikal akan menyusul, iaitu laluan dari Wangsa Maju ke Taman Melati sepanjang empat kilometer dan Wangsa Maju ke Taman Batu Muda sepanjang dua kilometer yang melibatkan kos pembangunan sekitar RM2.3 juta.

“Selain itu kami sedang memikirkan untuk membangunkan satu lagi projek seumpamanya di kawasan sepanjang Sungai Bunus. Kalau ia dapat diselaraskan dan diperluaskan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan ‘Greater KL’, apa salahnya.”

Projek laluan basikal ini merupakan sebahagian pakej pelancongan ibu negara dalam memperkenal Kuala Lumpur sebagai bandar raya pesat membangun yang turut mempromosikan budaya sihat.

Bagaimanapun, Ahmad Phesal berkata laluan khas basikal Mid Valley-Dataran Merdeka itu masih terdapat banyak kekurangan yang perlu ditambah baik.

Untuk itu, beberapa cadangan penambahbaikan seperti penggunaan lampu solar dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan keselamatan selain pembangunan landskap di sepanjang laluan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Anggota peronda DBKL juga akan ditugaskan mengawal lalu lintas serta keselamatan penunggang yang menggunakan laluan tersebut.


“Kita akan menambah lagi kekuatan anggota berserta aset rondaan. Ketika ini DBKL memiliki unit peronda basikal dengan kekuatan seramai 20 orang anggota, dan 40 basikal akan ditambah dalam masa terdekat,” katanya.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment