KLUANG: Seorang gadis meninggal dunia selepas ditikam di rusuk kiri dengan pisau oleh bekas tunangnya, di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Roze Shaari berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa, Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, sedang bekerja di pasar raya itu.
"Dipercayai berlaku pertengkaran antara Nursyafikah dan suspek yang berumur 20-an sebelum kepala Nursyafikah terhentak di sebuah motosikal akibat ditolak suspek serta kemudian ditikam di rusuk kiri menggunakan pisau pemotong sayur," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Roze berkata kejadian dipercayai bermotifkan cemburu apabila suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa Nursyafikah yang merupakan kerani stor dan berasal dari Felda Ulu Dengar, di sini, telah bertunang dengan lelaki lain dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Katanya polis menemukan pisau yang dipercayai digunakan dalam kes itu di tempat kejadian dan Nursyafikah meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.
"Polis sudah mengenal pasti suspek dan operasi memburunya sedang dilakukan," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment