Wednesday, 29 April 2015

Dilahirkan cacat kelamin

Amirul tertidur di atas riba bapanya.

TUMPAT - Telatahnya seperti kanak-kanak normal namun hakikatnya Amirul Hakimi Norhisyam, 6, dilahirkan cacat pada alat kelaminnya dan perlu menjalani pembedahan plastik pada Oktober ini.

Demi masa depannya, keluarga Amirul akur dengan perubatan moden dan bersedia menjalani pembedahan dengan harapan anaknya membesar seperti lelaki lain.

Bapanya, Norhisyam Kamarudin, 29, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila anak sulungnya dilahirkan cacat pada alat kelaminnya.

Katanya, kes anaknya itu dirujuk dengan doktor pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak 2011 lagi.

“Alat kelamin anak saya ada kelainan sedikit kerana saluran kencingnya terletak di batang.

“Anak saya berpeluang hidup normal jika pembedahan plastik dilakukan,” katanya.

Norhisyam berkata, sebelum ini dia gelisah menunggu tarikh anaknya akan menjalani pembedahan plastik tetapi kini buntu memikirkan kos pembedahan itu.

Katanya, walaupun dia dimaklumkan perlu menyediakan wang tunai RM3,000 tetapi baginya yang tidak berkemampuan ini, ia satu jumlah yang agak besar.

“Saya risau tidak dapat menyediakan jumlah wang sebanyak itu, sejak banjir besar tahun lalu, dia jarang turun ke laut.

“Saya berharap pembedahan pada Oktober nanti pembedahan pertama dan terakhir anak saya. Kalau ada pembedahan lagi, saya risau tiada wang,” katanya yang juga nelayan dari Pulau Tokang.

Norhisyam berkata, isterinya, Siti Nur Amirah Yassin, 22, suri rumah sepenuh masa menjaga Amirul dan seorang lagi anak bongsunya, Nur Ainul Mardiah, 2.

“Saya harap ada bantuan untuk keluarga kami menempuh detik sukar ini, usahkan mahu kumpulkan wang untuk pembedahan, perbelanjaan setiap kali berjumpa dengan doktor pakar pun kami tidak mampu,” katanya.

Setiap kali Norhisyam membawa anaknya berjumpa doktor pakar, dia terpaksa membelanjakan sekitar RM100 termasuk makan dan sewa kereta.

“Untuk ke bandar, saya perlu menaiki bot dan selepas itu menyewa kereta sewa kerana saya tidak ada kenderaan sendiri,” katanya.

Selain berjumpa doktor pakar bedah plastik, Amirul juga dirujuk pakar ortopedik dan pakar kanak-kanak.

Orang ramai yang prihatin nasib Amirul boleh menyalurkan bantuan ke dalam akaun Bank Islam 03-036-02-087897-9 atas nama Siti Nur Amirah.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment