Pembinaan Jambatan Bengkok merentasi Selat Johor telah dibatalkan pada 2006. Setelah 9 tahun, adakah ianya akan dihidupkan semula?
Pengenalan
Pembinaan Jambatan Bengkok merentasi Selat Johor telah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia pada 12 April 2006. Kini sudah sembilan tahun projek ini terhenti. Adakah terdapat apa-apa tanda yang ianya akan dihidupkan semula?
Tambak Johor
Pulau Singapura tidak lagi menjadi sebuah pulau yang sebenar-benarnya apabila Tambak Johor sepanjang 1, 056m menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibuka untuk trafik pada tahun 1927. Sebagai penghubung darat pertama di antara Tanah Melayu dan Singapura, pembinaannya merupakan sebuah keajaiban kejuruteraan pada ketika itu. Namun, apa yang ggal dilihat oleh pemimpin Johor pada ketika itu adalah kelicikan pihak British – pembinaan tambak dapat mematikan Selat Johor sebagai jalur pelayaran utama di Kepulauan Melayu pada ketika itu.
Tambak Johor ini menghubungkan Lebuhraya Skudai di sebelah Malaysia dan Lebuhraya Bukit Timah di Singapura, ditelusuri lebih 60, 000 kenderaan setiap hari. Selain berfungsi sebagai laluan tiga lorong untuk kenderaan, Tambak Johor juga menempatkan paip air dan landasan keretapi yang menghubungkan kedua-dua negara. Selain dari Tambak Johor, Singapura juga dihubungkan dengan Malaysia menerusi Jambatan Link Kedua sepanjang 1.92km yang telah memulakan operasi sejak tahun 1998.
Disebalik kemegahannya sebagai penghubung dua negara, Tambak Johor mempunyai beberapa kelemahan. Tidak seperti Jambatan Link Kedua yang membolehkan kapal-kapal belayar di bawahnya, Tambak Johor menutup sepenuhnya Selat Johor sebagai jalan maritime penghubung Timur dan Barat. Kapal-kapal yang belayar dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di tenggara barat laut Johor terpaksa mengelilingi Pulau Singapura untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di sebalik tambak, sekaligus meningkatkan jangka masa pelayaran.
Lagipula, Tambak Johor menghalang pergerakan air laut secara berterusan di Selat Johor, mengakibatkan berlakunya pencemaran laut di kawasan-kawasan berhampiran tambak di sekitar Bandaraya Johor Bahru. Dengan peningkatan jumlah trafik keluar masuk Singapura setiap tahun, adalah dikatakan tambak berusia 88 tahun ini tidak lagi dapat menyempurnakan tugasnya dengan sebaiknya dan harus digantikan dengan sebuah jambatan.
Projek Jambatan Bengkok
Idea untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan telah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Jun 1996. Selepas beberapa siri perbincangan, kedua-dua negara gagal mencapai kata putus untuk membina sebuah jambatan lurus merentangi Selat Johor menggantikan tambak yang sudah usang itu.
Malaysia berkeras untuk membina jambatan bengkok setinggi 25 meter di atas paras laut yang ketinggiannya turun secara perlahan menuju perbatasan antarabangsa di Selat Johor menyambungkannya terus dengan bahagian tambak sebelah Singapura. Jambatan Bengkok ini, sekiranya siap kelak, akan menjadi sebuah jambatan ikonik berbetuk ‘S” di dunia, meningkatkan reputasi Johor Bahru sebagai pintu masuk selatan utama bagi tanahair.
Namun, pada April 2006, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Tun Abdullah Badawi, mengumumkan pembatalan projek tersebut. Setelah projek tersebut dibatalkan, terdapat beberapa cadangan bagi projek ini untuk dihidupkan semula, terutamanya dari bekas Perdana Menteri yang mendapat julukan Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bina Atau Tidak?
Sejak projek Iskandar Malaysia diwujudkan pada tahun 2006, daerah terselatan di negeri Johor telah mengalami pem odenan yang memberansangkan. Kawasan pembangunan ini merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi mencakupi Bandaraya Johor Bahru dan kota-kota berdekatan seperti Pontiam, Senai, Pasir Gudang dan Nusajaya.
Daerah Johor Bahru, lokasi di mana jambatan bengkok ini akan di bina, terletak di tengah-tengah Iskandar Malaysia. Oleh itu, Malaysia sepatutnya mempertimbangkan bagi menghidupkan semula projek jambatan bengkok ini. Projek ini boleh meningkatkan potensi Johor sebagai hab perkapalan bagi rantau ini, standing Singapura.
Dengan ketinggian Jambatan Bengkok yang membolehkan kapal belayar menerusinya, Selat Johor boleh dibuka semula bagi tujuan pelayaran setelah ‘tertutup’ selama 88 tahun, menjadi nadi penghubung utama dua pelabuhan utama di Johor yakni Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang,
Dengan pembukaan Selat Johor kepada aktiviti pelayaran antarabangsa, kapal-kapal yang melayari Selat Johor boleh mengamalkan hak lintas transit sepertimana yang termaktub di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Undang-undang Laut apabila Selat Johor menjadi nadi penghubung utama laluan maritime Timur-Barat di rantau ini.
Pembukaan semula Selat Johor kepada pelayaran antarabangsa boleh menyediakan pelaut dengan jalan alternatif untuk laluan perkapalan yang sememangnya sudah terlalu sesak menerusi Selat Singapura, yang direntasi lebih 75, 000 kapal setiap tahun. Walaubagaimanapun, luas Selat Johor yang sempit berbanding Selat Singapura akan mendorong kapal-kapal besar seperti very large crude carrier (VLCC) atau ultra large crude carriers (ULCC) untuk melayari jalur laut yang lebih sesuai iaitu menerusi Selat Singapura.
Pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor ini boleh membantu mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandaraya Johor Bahru. Jambatan Bengkok yang dicadangkan ini boleh mengurangkan pencemaran kerana membolehkan air laut yang bertakung di Selat Johor untuk mengalir secara bebas.
Sewaktu Menara Berkembar Petronas dicadangkan untuk pembinaan, banyak komen-komen negatif yang mengatakan projek ini adalah sebuah projek gajah putih. Namun kini, Menara Berkembar Petronas inilah yang berjaya meletakkan bandaraya Kuala Lumpur di peta dunia dengan menarik ramai pelancong ke Malaysia. Memang benar Kuala Lumpur mempunyai banyak kawasan tumpuan pelancongan tetapi Menara Berkembar Petronas inilah yang paling popular seantero dunia. Menurut majalah Business Insider, Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai bandar ke-sembilan paling dilawati di dunia pada tahun 2015 dengan menerima 11.2 juta pelancong mengalahkan bandar-bandar utama lain seperti Taipei, Dubai, Rome dan Istanbul. Seperti Menara Berkembar Petronas, Jambatan bengkok yang dicadangkan ini boleh menjadi ikon antarabanga bagi bandaraya Johor Bahru, melengkapi kota ini dengan kawasan tumpuan pelancongan yang lain seperti Desaru, Legoland dan Johor Premium Outlets.
Kesimpulan
Walaupun telah dibatalkan pada tahun 2006, projek jambatan bengkok yang dicadangkan ini wajar dipertimbangkan sekali lagi dan dihidupkan semula. Ianya adalah sebuah projek berwawasan yang mampu menjana ekonomi selatan Johor. Walaubagaimanapun, persoalan utama yang harus di jawab kerajaan Malaysia adalah – bina atau tidak?
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia dan seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
**Disiarkan di Astro Awani
No comments:
Post a Comment