MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) melawat Kelas Bestari ketika hadir pada Majlis Perasmian Samsung Smart Classroom di Sekolah Kebangsaan Ayer Lanas hari ini.
JELI: Sekolah Kebangsaan Ayer Lanas di sini adalah sekolah luar bandar pertama yang menerima Kelas Bestari Samsung yang dibangunkan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd.
Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung, Datuk Roh Jae Yeol, berkata ia juga sejarah buat Samsung kerana pertama kali projek itu diperkenalkan di Malaysia.
"Pelancaran kelas bestari ini adalah sebahagian inisiatif global Samsung yang dilaksanakan di hampir 400 sekolah di 72 negara lain.
"Ia merevolusikan kaedah mengajar tradisional bagi pembangunan pendidikan dan profesional," katanya semasa berucap pada majlis perasmian kelas itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang.
Roh berkata, SK Ayer Lanas dipilih untuk projek itu bagi merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar.
"Ia disasar untuk menyediakan peluang kepada pelajar untuk menggunakan teknologi sedia ada dan menambah nilai kepada pendidikan mereka serta memiliki kemahiran penting abad ke-21," katanya.
Beliau berkata, kandungan pendidikannya diselaras dengan silibus sekolah kebangsaan yang memfokus kepada bahasa Malaysia, Inggeris, Sains dan Matematik untuk murid Tahun Enam.
"Ia juga dilengkapi dengan pemantauan keupayaan di mana guru boleh menyelia kemajuan pelajar dalam latihan pembelajaran di samping menyediakan sasaran tambahan melatih.
"Dengan kaedah ini, sekolah boleh mencapai penambahbaikan dan prestasi akademi positif," katanya dan menambah pasukan Samsung akan memantau program itu selama tiga tahun.
Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, Kelas Bestari Samsung itu akan meningkatkan lagi minat murid untuk belajar dan menjadi berdaya saing, sekali gus mampu melahirkan lebih ramai pelajar pintar.
"Saya percaya kita akan melihat hasilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang. Banyak negara maju telah menggunakan teknologi seperti ini dalam proses pembelajaran di sekolah.
"Saya berharap lebih ramai syarikat gergasi melabur dalam program seperti ini untuk peningkatan akademik pelajar di Malaysia," katanya.
- Sumber: BERNAMA
No comments:
Post a Comment