Tuesday, 3 February 2015

Kereta api tergelincir selepas langgar jengkaut di Sabah

Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang berusaha membawa kedua-duanya ke bengkel untuk dibaik pulih. -Gambar fail

KOTA KINABALU: Satu daripada tiga gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu tergelincir selepas kepala kereta api berkenaan melencong daripada landasan utama di Membakut pagi tadi.

Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Melvin V. Majanga, berkata kejadian itu berlaku di Kilometer 69.6, Kampung Bandau di Membakut, kira-kira 45 minit selepas kereta api itu memulakan perjalanannya dari Stesen Daerah Beaufort pada 5 pagi.

Kereta api itu dijadualkan tiba di Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 7 pagi.

"Hanya satu gerabak sahaja tergelincir selepas kepala kereta api melanggar jengkaut. Ia (gerabak) sudah ditarik. Kereta api telah menyimpang keluar dari landasan utama.

"Kami sedang menyiasat bagaimana perkara ini berlaku sama ada masalah teknikal atau kesilapan manusia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Melvin berkata kesemua penumpang selamat dan tiada yang cedera.

Menurutnya kepala kereta api dan gerabak kereta api berkenaan masih tersadai di tempat kejadian.

Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang berusaha membawa kedua-duanya ke bengkel untuk dibaik pulih.

Beliau berkata berikutan insiden itu, perkhidmatan kereta api tergendala dari Beaufort ke Kota Kinabalu tergendala minggu ini dan dijangka kembali beroperasi minggu hadapan.

Kejadian itu telah dilaporkan di Balai Polis berhampiran Membakut, katanya.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment