Munah sudah mulai sedar semalam tetapi masih lemah, dipercayai kesan ubat bius pembedahan yang dilakukan kelmarin.
HULU BESUT - Warga emas yang mengalami masalah perut membengkak, Munah Abdullah, 61, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan termasuk mengeluarkan keseluruhan 50 liter cecair dari dalam perutnya, kelmarin.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata, pembedahan dilakukan oleh dua pakar sakit puan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selama dua jam bermula jam 2 hingga 4 petang.
Menurutnya, doktor berjaya mengeluarkan ketumbuhan ovari kanan yang sangat besar berukuran kira-kira 80 X 80 sentimeter dari dalam perut Munah yang menjadi punca perutnya membengkak selama ini.
“Dalam ketumbuhan ovari tadi mengandungi cecair rembesan sebanyak 39 liter berwarna gelap manakala ovari kiri sebesar 15 X 15 sentimeter juga telah dibedah keluar,” katanya.
Dr Mohammad berkata, sebaik dimasukkan ke hospital 3 Februari lalu, pakar sudah menyedut keluar melalui picagari sebanyak 11 liter cecair untuk mengurangkan tekanan dan melakukan ujian sitologi.
Menurutnya, selepas pembedahan, keadaan Munah stabil dan terus dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, anak lelaki Munah, Zulkifli Awang, 27, berkata, ibunya mulai sedar semalam, namun masih belum bertenaga.
Menurutnya, ibunya juga sudah membuka mata dan dapat bercakap semalam tetapi masih lemah dipercayai kesan ubat bius pembedahan yang dilakukan kelmarin.
“Kami keluarga amat gembira melihat perkembangan ibu yang menunjukkan kesan positif, malah perutnya kembali kempis seperti biasa.
“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk pemimpin di negeri ini, masyarakat Felda dan pihak hospital yang memberi perhatian rapi terhadap ibu kami,” katanya.
Zulkifli turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan ibunya pulih dan berharap ibunya diberi kesembuhan sepenuhnya selepas ini.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment