Jumlah gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur dilihat semakin meningkat sejak kerajaan mengumumkan pembinaan pusat perlindungan golongan itu.
KUALA LUMPUR: Jumlah gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur dilihat semakin meningkat sejak kerajaan mengumumkan pembinaan pusat perlindungan golongan itu, kata ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib semasa perjumpaan ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur petang tadi, berdasarkan kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Datuk Bandar membuat kajian pada tahun lalu, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan DBKL akan bina pusat perlindungan gelandangan, semasa itu ada kira-kira 600 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
"Tetapi selepas berita itu, ia telah menarik perhatian lebih ramai gelandangan. DBKL kini telah banci kira-kira 1,500 hingga 2,000 gelandangan di Kuala Lumpur setiap hari," katanya kepada pemberita di pejabat DBKL hari ini.
Dakwa beliau, semasa beliau bertanya kepada Ahmad Phesal tentang jalan penyelesaian yang terbaik, Ahmad Phesal menjawab, "tangkap semua".
Bagaimanapun Ahmad Phesal ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat tersebut, nafi akan mengambil tindakan sedemikian.
"Tak boleh la sebab ini masalah sosial yang perlu ditangani oleh kerajaan... dulu kita buat ikut tindakan penguatkuasaan, tetapi kita sedar ada kategori-kategori yang perlu kita lihat supaya dapat kita selesaikan," jelasnya.
Namun beliau mengakui bertambahan jumlah gelandangan di ibu kota itu.
"Nampaknya gelandangan sudah bertambah sampaikan orang yang berkeupayaan pun tunggu hendak makan sebab selalu dapat makan percuma, jadi sekarang makin bertambah," kata Ahmad Phesal.
Mengulas tentang pelan penyelasaian, katanya terdapat tiga pusat perlindungan yang kini sedang dibangunkan DBKL termasuk satu projek kendalian Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di bawah tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada kerajaan.
Katanya pusat perlindungan yang dibangunkan MRCB itu melibatkan kompleks di atas tapak berukuran 12,000 kaki persegi di hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Keduanya kami bercadang hendak mengambil bekas hotel di Jalan Chow Kit dan sekarang dalam proses untuk memiliki premis itu," katanya.
Maklum beliau, DBKL juga akan membina kabin sementara di Jalan Medan Tuanku sebagai satu lagi pusat perlindungan gelandangan.
Mengulas lanjut tentang projek MRCB itu, katanya projek tersebut telah dimulakan sebulan lalu dan dijangka siap dalam masa setahun hingga satu setengah tahun dan dikhususkan untuk gelandangan lelaki dan wanita.
Najib pada Julai lalu telah mengumumkan pembinaan pusat perlindungan gelandangan selepas melakukan tinjauan aktiviti dapur jalanan yang memberi makanan percuma kepada golongan tersebut di Jalan Tun Perak.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment