Monday, 26 January 2015

Tragedi konvoi balik kampung

  • Muhammad Zulhelmi (gambar kecil) maut ditempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan.
  • Muhammad Zulhelmi (gambar kecil) maut ditempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan.

IPOH – Konvoi tiga bersaudara untuk pulang ke kampung di Lenggong berakhir dengan tragedi apabila salah seorang adik mereka maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan di Kilometer 266.5 Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Terowong Menora, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Muhammad Zulhelmi Omar, 20, menaiki motosikal jenis Kawasaki RR 150 konvoi bersama abangnya, Muhammad Rashid Omar, 26 dan sepupunya, Muhammad Iqbal Mohmad, 21.

Muhammad Rashid berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila salah seorang pengguna jalan raya sempat memberitahu terdapat kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal.

Katanya, sebelum kejadian, dia sedang menunggu mangsa di kawasan rehat berhampiran terowong itu kerana dia ketinggalan selepas mereka meneruskan perjalanan dari Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Malim.

“Saya berasa tidak sedap hati terus memecut motosikal berpatah balik untuk melihat kemalangan itu dan apabila terpandang topi keledar, saya terus menerpa mendapatkan adik yang terbaring di jalan,” katanya.

Menurutnya, mereka meneruskan konvoi dari Kuala Lumpur seawal jam 6 pagi dan adik dilihat sangat teruja untuk menyertai kami setelah lebih 10 tahun dia tidak pulang ke Kampung Bukit Sapi.

“Tidak sangka sikapnya yang secara tiba-tiba menjadi pendiam ketika berehat di Tanjung Malim menjadi petanda dia pergi dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan ketika menaiki bukit di kawasan terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa terbabas dan melanggar pengadang besi di kiri jalan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di temat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment