Namun begitu pasukan itu gagal mengeluarkannya ekoran terhimpit di bawah serpihan pesawat. - Gambar Fail
JAKARTA: Anggota kumpulan penyelam Indonesia pada Ahad berjaya menemui kotak hitam pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas pada 28 Disember lalu bersama 162 penumpang, kata Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB).
Namun begitu pasukan itu gagal mengeluarkan kotak hitam ekoran terhimpit di bawah serpihan pesawat.
“Pasukan penyelam di kapal Jadayat berjaya menemui peralatan penting, kotak hitam pesawat QZ8501,” kata Tonny Budiono, seorang pegawai kanan kementerian itu di Jakarta.
Perakam suara dan data penerbangan itu ditemui pada kedalaman 30-32 meter, katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelam akan berusaha pada Isnin untuk mengalihkan serpihan pesawat itu bagi mendapatkan kotak hitam itu.
“Sekiranya usaha itu masih gagal, kami akan menggunakan belon untuk mengapungkan serpihan pesawat seperti mana yang kami lakukan ketika mengangkat ekor pesawat yang lalu,” kata Tonny.
Sementara itu pengarah pasukan SAR, S.B. Supriyadi pada awalnya memaklumkan serpihan pesawat yang dipercayai bahagian badan pesawat itu telah berjaya dikesan berhampiran isyarat ping kotak hitam terbabit.
Sehingga kini katanya, 48 mayat telah berjaya ditemui.
Kata Supriyadi, pihaknya percaya lebih banyak mayat terperangkap di bahagian kabin pesawat dan akan ditemui. Bahagian ekor pesawat telah berjaya diangkat pada Sabtu.
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment