Monday, 19 January 2015

Dua nelayan dilapor hilang ditemui selamat

HAIRULNIZAM Shafee, 33 (Kiri) bersama rakanya Anuar Mohd Ali, 29, ditemui tersadai selama tiga hari di laut kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Teluk Kalong akibat enjin bot rosak. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Dua nelayan yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas turun ke laut untuk menangkap ikan ditemui dalam keadaan selamat.

Hairulnizam Shafee, 33, dan rakannya, Anuar Mohd Ali, 29, ditemui sedang tidur di dalam bot gentian kaca kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Telok Kalong di sini, jam 10 malam semalam.

Mereka yang tersadai di tengah laut selepas bot gentian kaca dinaiki mengalami masalah enjin, ditemui oleh sekumpulan nelayan dari Kuala Kemaman, sebelum bot mereka ditunda ke Kampung Pengkalan Cicar oleh abang Hairulnizam, Susselmy Shafee, 36, yang dimaklumkan mengenai penemuan itu.


Hairulnizam berkata, dia dan Anuar turun ke laut jam 5 pagi Khamis lalu dari Jeti Nelayan Kampung Pengkalan Cicar, sebelum enjin tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan.

"Disebabkan enjin bot tidak dapat dihidupkan, kami mengikat bot pada unjam nelayan di tengah laut supaya bot tidak bergerak dibawa ombak.

"Selepas tiga hari terperangkap di atas bot dan tidak boleh ke mana-mana, kami hanya makan sisa makanan dari bekalan yang kami bawa, selain terpaksa makan ikan mentah yang ditangkap untuk mendapatkan tenaga," katanya.

- Sumber: Berita Harian | Januari 18, 2015

No comments:

Post a Comment