PUA: Keterangan kepada PAC adalah cara terbaik bagi Arul Kanda menjelaskan mengenai 1MDB.
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dicabar supaya memberikan keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai hal ehwal firma pelaburan itu.
Cabaran tersebut dibuat oleh Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang berpendapat keterangan kepada PAC adalah cara terbaik bagi Arul Kanda menjelaskan mengenai 1MDB.
Pua dalam kenyataannya hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Arul Kanda yang menawarkan satu pertemuan dengan wakil rakyat DAP 'untuk mendapat lebih maklumat' mengenai firma yang menanggung beban hutang itu.
"Memandangkan 'penelitian awam mengenai 1MDB merupakan perkara yang baik', CEO baru, Arul Kanda Kandasamy perlu tawar diri untuk beri keterangan kepada PAC untuk 'mengukuhkan syarikat itu dan pemerintahannya'.
"Untuk mengelak sebarang tuduhan yang saya mungkin memutar belit dan memanipulasi secara 'politik' dalam pertemuan dengan 1MDB, mungkin lebih baik jika Arul Kanda bertemu dan beri keterangan pada PAC.
"PAC terdiri daripada tujuh Barisan Nasional dan lima Pakatan Rakyat, wakil dilantik yang tidak boleh dituduh bias terhadap 1MDB.
"Pertemuan seperti itu bukan saja adil, tetapi dilihat lebih adik untuk rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.
Tegas Pua, setiap kritikan perlu dijawab secara umum untuk membolehkan rakyat mendapat maklumat lengkap mengenai 1MDB.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Arul Kanda dalam kenyataannya semalam tidak memberikan sebarang penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan sebelum ini.
Beliau ingin Arul Kanda memberi penjelasan apa yang dimaksudkan Arul Kanda dengan dana AS$2.318 bilion (RM8.24 bilion) yang diletakkan di Pulau Cayman sudah ditebus semula.
Selain itu, Pua mendesak supaya Arul Kanda memberitahu jumlah sebenar yang diterima syarikat itu secara tunai.
"Pendedahan seperti itu sudah tentu beri kesan baik membuka kerahsiaan yang disembunyikan berhubung beberapa tindakan misteri syarikat berkenaan sepanjang tempoh lima tahun lalu," katanya lagi.
Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sepertinya mempersoalkan ke mana dana itu pergi.
"Memandangkan Arul Kanda terbuka mengalu-alukan 'penilaian awam' sebagai 'perkara yang baik' yang 'akan hanya mengukuhkan lagi syarikat dan pemerintahannya', kami menanti pertemuan 1MDB dengan PAC untuk membuktikan syarikat itu tidak menyembunyikan apa-apa.
"Sudah pasti tidak ada cara lebih baik untuk 1MDB berhubung dalam 'cara paling bertanggungjawab' seperti dicari Arul Kanda," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tidak kira sama ada ia dialog tertutup, atau mesyuarat dengan PAC, beliau tidak sabar untuk mendengar "jawapan jujur" tidak lama lagi.
Pada Selasa, Arul Kanda berkata 1MDB sudah menebus semula dana yang dilaburkan secara berdaftar di Pulau Cayman.
Namun Dr Mahathir dalam satu temubual bersama Sarawak Report, berkata penjelasan yang diberikan pelabur strategik Malaysia itu 'sangat cetek'.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment