Friday, 12 December 2014

Suami tetak kaki dan tangan isteri akibat cemburu



Seorang wanita cedera parah ditetak suaminya selepas satu pertengkaran di rumah mereka di Taman Suria, Kluang, hari ini.

JOHOR BAHARU: Seorang wanita cedera parah ditetak suaminya selepas satu pertengkaran di rumah mereka di Taman Suria, Kluang, hari ini, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Roze Shaari berkata kedua-dua pergelangan tangan dan kaki K. Menaga, 44, hampir putus akibat ditetak suaminya N.Marimuthu, 47, di tempat letak kereta rumah mereka dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 11 pagi.

Katanya Marimuthu kemudiannya ditemui mati tergantung di balkoni tingkat atas rumah dipercayai membunuh diri.

"Hasil siasatan awal, kita percaya motif kejadian adalah berpunca daripada perasaan cemburu suami yang mengesyaki mangsa yang bekerja di Singapura mempunyai 'skandal'," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Mohd Roze berkata sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah hotel di Singapura, baru sampai di rumah dari tempat kerjanya pada pukul 10.30 pagi telah bergaduh dengan suaminya di ruang tamu dan didengari anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun dan ibu Marimuthu yang berada di dapur ketika itu.

"Mangsa kemudian telah mengajak mereka untuk keluar membeli barang keperluan sekolah namun semasa mereka bergerak keluar, si suami secara tiba-tiba datang dari belakang dan menetak lengan kirinya sambil menyuruhnya agar jangan bekerja di Singapura lagi.

"Wanita itu yang ketakutan melarikan diri, namun terjatuh di tempat letak kereta rumah, di mana suaminya menetak kedua-dua pergelangan tangan dan kakinya," katanya dan menurutnya Marimuthu kemudiannya naik ke bahagian atas rumah dan mengunci pintu pagar balkoni.

Katanya anak lelaki pasangan itu telah menghubungi bapa saudaranya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Mohd Roze berkata pihaknya menemui sebilah pisau pemotong daging, sebilah parang panjang dan satu tong racun berwarna putih di tempat kejadian.

Kematian Marimuthu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment