Zahim ketika menceritakan kejadian berkenaan kepada wartawan.
SEREMBAN - Seorang pelajar sebuah kolej swasta di sini, hampir terjebak dengan kata-kata seorang 'pendakwah' yang mendakwa seseorang itu mendapat syafaat dan boleh masuk syurga apabila membayar RM200 kepadanya.
Pelajar terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zahim, 23, berkata, dia didatangi lelaki berusia lingkungan 40-an itu, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam, minggu lalu ketika sedang minum bersama seorang rakannya di sebuah kedai makan di Rahang, di sini.
Menurutnya, kejadian bermula apabila lelaki terbabit yang hanya memakai kemeja-T dan berseluar jeans, menyapanya untuk meminjam pemetik api.
"Kemudian, dia terus duduk semeja dengan kami. Mula-mula itu hanya berbual biasa saja, tetapi selepas itu, tiba-tiba dia mula bercerita dan bertanya kepada saya. Antara soalannya, 'kau pilih syirik atau dosa besar?, " katanya.
"Dia cakap, kalau saya solat, tapi bacaan salah, sudah dikira syirik dan solat saya hanya sia-sia. Masa itu, saya dah rasa tidak sedap hati,” katanya.
Zahim berkata, lelaki itu berterusan menceritakan perkara berkaitan agama sehinggalah dia memberitahu boleh memberi syafaat kepada orang, dengan syarat memberinya wang sebanyak RM200.
Menurutnya, tawaran daripada lelaki itu amat mengejutkan kerana ia ternyata tidak masuk akal serta boleh menjejaskan akidah sesiapa yang mempercayainya.
“Masa mula-mula itu, saya rasa mungkin dia nak kongsi pengetahuan agama. Bila saya tanya berkaitan apa yang dicakapkan, jawapan diberikannya lancar dan memang boleh membuatkan kita percaya. Tapi bila sampai minta duit, saya mula fikir yang dia tak betul," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Zahim berkata, dia bagaimanapun terlepas kira-kira 40 minit selepas perbualan itu apabila meminta diri dengan alasan sudah lewat malam.
Menurut Zahim, dia percaya mereka yang kurang pengetahuan agama akan terpengaruh dengan apa yang disampaikan lelaki berkenaan.
Malah, katanya, perwatakan dan pakaian lelaki itu, langsung tidak menampakkan dia tidak waras atau sesat.
“Dia pandai sebab nak dekat dengan kita kononnya nak pinjam pemetik api. Lepas itu, dia cerita macam-macam dan setiap soalan yang kita tanya dia boleh jawab dengan lancar," katanya.
Berikutan itu, Zahim meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memantau perkara tersebut kerana tindakan lelaki terbabit secara halus boleh menyesatkan orang ramai, lebih-lebih lagi berani datang di kawasan tumpuan ramai.
Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan dan aduan berhubung kejadian seperti didakwa Zahim.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment