- Heather menundukkan kepala selepas meminta maaf kepada umum berhubung insiden 'kacang', Jumaat lalu.
KOREA SELATAN - Bekas eksekutif Korean Air, Heather Cho yang juga merupakan anak kepada Presiden syarikat penerbangan itu meminta maaf secara terbuka gara-gara menimbulkan kekecohan dalam penerbangan hanya kerana ‘kacang’, lapor BBC.
Heather dilaporkan berada dalam pesawat Korea Airnlines yang menuju ke Incheon, Korea Selatan dari New York minggu lalu dan mengarahkan seorang anak kapal dikeluarkan kerana telah menghidangkan kepadanya kacang di dalam plastik bukan di atas pinggan.
Kejadian itu mengakibatkan penerbangan itu tertunda selama 20 minit.
Menurut laporan itu, mangsa dikatakan telah dipaksa untuk berlutut dan meminta maaf oleh Heather sebelum diarahkan turun dari pesawat tersebut.
Jumaat lalu, Heather meminta maaf di hadapan para wartawan di luar bangunan kerajaan di mana beliau akan bertemu dengan pegawai kementerian pengangkutan.
“Saya dengan sepenuh hati meminta maaf,” katanya sambil menundukkan kepala kepada semua yang hadir.
Beberapa jam sebelumnya, ayahnya, Cho Yang-ho juga meminta maaf sebagai seorang ayah dan Presiden Korean Air.
“Saya minta maaf atas tindakan anak perempuan saya itu. Sebagai Presiden dan ayah, saya harapkan kemaafan semua rakyat Korea. Salahkan saya kerana semuanya salah saya,” katanya.
Menurut Yang-ho, anak perempuannya itu telah mengundurkan diri dan melepaskan semua jawatannya dalam syarikat beberapa hari lalu.
Pihak berkuasa dilaporkan sedang melakukan siasatan atas insiden tersebut.
Heather berusia 40 tahun merupakan anak perempuan pertama Yang-ho manakala dua lagi adiknya turut memegang jawatan dalam syarikat tersebut.
Keluarga Cho memiliki 10 peratus (%) saham Korean Air Lines Co,.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment