Thursday, 11 December 2014

Dua maut kapal LPG terbakar di perairan negara

KUALA TERENGGANU: Dua maut manakala dua lagi cedera selepas kapal tangki yang membawa muatan gas petroleum cair (LPG) terbakar dalam kejadian kira-kira 26 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu seorang krew warga Myanmar Zaw Myo Htut, 23, dan seorang lagi warga Korea Selatan Song Oh Weon, 56, maut di tempat kejadian selepas terbakar.

Manakala dua lagi yang cedera iaitu seorang krew warga Myanmar Khine Zin Lin, 28, dan seorang krew warga Korea Selatan Chow Tea Won, 64, masing-masing cedera pada bahagian kaki dan perut.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu Mohammad Zainal berkata sebaik menerima laporan berhubung insiden itu, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya sebaik tiba, pihaknya mendapati kebakaran itu telahpun dipadamkan namun terdapat mangsa yang cedera dan maut akibat kebakaran tersebut.

"Hasil pemeriksaan ke atas kapal tersebut, kita menemui dua krew kapal telah meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Pengkalan APMM Pulau Kambing untuk diberikan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya kapal yang belayar ke Korea Selatan bersama 23 krew ini dipercayai dalam perjalanan menuju ke Thailand sebelum terbakar di perairan negara.

Mohammad berkata siasatan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berwajib.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala dua mayat tersebut turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

- Sumber: Bernama, December 11 

No comments:

Post a Comment