Bapa bayi itu, Nik Mohamad Azhari Nik Ibrahim, 27, berkata beliau menyedari anaknya Nik Nur Ainul Mardhiah tidak sedarkan diri pada pukul 5 pagi. - Gambar Hiasan
KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di rumahnya di Kampung Che Deris, Pantai Cahaya Bulan di sini, awal Selasa.
Bapa bayi itu, Nik Mohamad Azhari Nik Ibrahim, 27, berkata beliau menyedari anaknya Nik Nur Ainul Mardhiah tidak sedarkan diri pada pukul 5 pagi.
"Pada pukul 3 pagi isteri saya mendodoikan bayi dan memberi susu kepadanya sebelum kami terlelap.
"Saya hanya terjaga daripada tidur lebih kurang dua jam kemudian dan saya nampak lelehan hingus keluar dari hidungnya dan badannya menjadi sejuk," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata anak bongsu daripada dua beradik itu tidak memberi sebarang tindak balas selepas diangkat dan didukung.
"Saya terus membawanya ke rumah mertua yang terletak kira-kira 400 meter dari rumah kerana ibu mertua merupakan bekas jururawat.
"Setelah diperiksa Nik Nur Ainul Mardhiah dipercayai sudah meninggal dunia beberapa jam yang lalu," katanya.
Beliau berkata jenazah anaknya itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Deris di sini, kira-kira pukul 10 pagi.
Jurucakap polis di Balai Polis Badang berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7 pagi dan kes kematian bayi itu disahkan oleh doktor dari Klinik Kesihatan Badang.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment