Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat dari timbusan tanah di Kampung Jemblung, Jawa Tengah. Foto AFP/Dida Nuswantara
JAKARTA: Hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di pulau Jawa, Indonesia menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan hampir 100 yang lain hilang, lapor agensi berita AFP.
Menurut jurucakap agensi bencana negara, Sutopo Purwo Nugroho, hujan berterusan membuatkan usaha menyelamat terganggu, namun ia masih diteruskan.
“Pasukan penyelamat telah menemui 17 mayat," kata Sutopo sambil memaklumkan bahawa 11 mangsa yang lain mengalami cedera parah dan 91 lagi masih belum ditemui.
Beratus-ratus penyelamat menggali dengan menggunakan penyodok selepas tanah runtuh tersebut menimbus rumah-rumah di kampung Jemblung di Jawa Tengah pada petang Jumaat.
Menurut seorang wartawan AFP, tanah runtuh itu melimpah ke bawah lereng bukit di kampung tersebut, memusnahkan semua rumah kecuali dua.
Agensi bencana memaklumkan, 200 penyelamat dan 500 sukarelawan telah menyertai misi pencarian mangsa yang hilang.
Peralatan penggalian berat juga telah dibawa ke kawasan tersebut untuk mempercepatkan kerja-kerja menyelamat yang terpaksa dihentikan pada petang Sabtu apabila hujan mulai turun.
Saksi berkata mereka mendengar seolah bunyi guruh, dan tanah bergegar ketika kejadian tanah runtuh tersebut.
"Saya berlari membawa anak perempuan saya ke kawasan yang lebih tinggi, dan saya menangis kerana saya dapat mendengar orang memanggil bantuan dari bawah," kata Bini, yang suami dan anak lelakinya berusia 14 tahun masih hilang.
"Ia mengambil masa hanya lima minit sebelum tanah dan pokok menimbusi seluruh kampung tersebut," kata Harno, seorang mangsa yang terselamat.
Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat dan banjir adalah biasa di Indonesia tropika semasa musim hujan.
Agensi bencana negara menganggarkan kira-kira separuh daripada 250 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh.
Kepulauan yang luas Indonesia merupakan salah satu negara yang paling mudah terkena bencana, dan juga sering dilanda gempa bumi serta letusan gunung berapi.
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment