Wednesday, 12 November 2014

Sinbad Dendam Ratu Kala penuh fantasi


BERTEMPAT di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bangsawan Sinbad Dendam Ratu Kala melabuhkan tirai selepas dipersembahkan selama tiga hari berturut-turut, bermula 7 hingga 9 November lalu.

Merupakan kesinambungan dari Teater Bangsawan Sinbad yang pernah dipentaskan pada 2009 (Sinbad Batu Permata Dewa), pementasan selama hampir dua jam ini berjaya menarik hampir 2,000 penonton.

Mendapat sentuhan Rosnan Nordin sebagai pengarah, teater ini dibintangi pegawai dan kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) seperti Mohd Fairuz Selamat (Sinbad), Nur Azreen Nizar (Puteri Jasmin), Saifulkhairi Ahmad (Abdul), Milyana Arshad (Ratu Kala) dan ramai lagi.

Teater Sinbad Dendam Ratu Kala mengisahkan Ratu Kala yang ingin membalas dendam di atas kematian anaknya dengan menculik Puteri Jasmin sebagai tebusan.

Demi menyelamatkan cinta hati, Sinbad memulakan pelayaran ke Kerajaan Ratu Kala di Alam Hitam dan mendapatkan pertolongan Tiga Setan Ratu Sheeba yang mengetahui tempat persembunyian ratu kejam tersebut.

Walaupun Sinbad berjaya menyelamatkan Puteri namun dia berhadapan dengan situasi sukar apabila takhta Puteri Yasmin akan bertukar tangan sekiranya mereka tidak pulang tepat pada masanya.

Menepati ciri teater bangsawan, teater ini berjaya membawa penonton ke dunia fantasi yang mana pengembaraan Sinbad memerangi kejahatan Ratu Kala amat dirasai.

Dari segi lakonan, nyata persembahan setiap pelakon tiada cacat celanya. Dengan lakonan bertenaga, setiap watak dilihat lebih menyerlah dengan solekan dan kostum yang membantu menghidupkan alam Sinbad.Lebih menonjol dengan LED

Tidak seperti pementasan biasa, Rosnan Nordin berjaya menghidupkan suasana teater Sinbad ini dengan penggunaan teknik lebih moden berbanding persembahan biasa.

Bukan sahaja menonjolkan elemen tarian, nyanyian dan lakonan, teater ini juga menggunakan skrin LED dan visual menjadikan ianya satu persembahan luar biasa.

Rosnan berkata, ternyata teknik itu memukau penonton dan menjadikan babak seperti naga dan bebola api lebih realistik.

"Saya bersyukur dengan penerimaan penonton yang rata-rata berpuas hati dengan persembahan ini.

"Ternyata teknik visual lebih moden juga boleh diguna pakai untuk menyerikan lagi pementasan ini," ujarnya

Dalam pada itu, Rosnan, turut memuji kerjasama dan persembahan kesemua pelakon. Sementelah kebanyakan mereka sememangnya mempunyai latar belakang seni kreatif dan teater dari universiti tempatan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment