Khoo Kok Ann, 58, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca terhadapnya. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat perunding hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kereta serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi wanita dua hari lepas.
Khoo Kok Ann, 58, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, Khoo didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45, yang melibatkan anggaran kerugian RM40 di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Putrajaya (atas jejambat) pada 8 pagi, 17 Nov lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan terhadap wanita sama dengan menghalang laluan perjalanan mangsa pada masa dan tempat yang sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan kerana kes itu mendapat perhatian umum.
Namun, peguam T. Geetha, yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Dis ini untuk sebutan kes.
Khoo membayar wang jaminan itu.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment