- Rohani
KUALA LUMPUR - Kursus 'Smart Start' yang selama ini dihadiri secara sukarela akan diwajibkan bagi semua pasangan dari semua kaum yang ingin berkahwin, sebelum akhir tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementerian kini dalam proses perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi keagamaan lain, bagi mewajibkan kursus ini.
Kursus itu bertujuan mencegah berlakunya perceraian, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 'Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2014' di sini, hari ini.
"Modul ini telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak Mei 2003 untuk semua kaum bagi memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pasangan yang baru berkahwin atau yang akan berkahwin," katanya.
"Kementerian yakin dengan adanya kursus ini masalah rumah tangga dapat dikurangkan," tambahnya.
Rohani berkata, kursus itu memberi fokus kepada pelbagai aspek perkahwinan dan keibubapaan, selain memberi sokongan psikososial kepada pasangan bagi menempuh alam perkahwinan dan rumah tangga agar lebih sejahtera.
Beliau juga berkata, rekod polis menunjukkan 3,673 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sepanjang tahun ini, meningkat 43.6 peratus berbanding 2,558 kes pada tahun lepas.
"Ini menunjukkan meningkatnya tahap kesedaran wanita untuk tampil melaporkan keganasan rumah tangga yang dialami," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment