Thursday, 27 November 2014

Kontroversi bukan penamat karier - Farah Diana

Farah Diana

ENTAH di mana silapnya, tahun lalu, nama penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar, menjadi perbualan hangat atas kontroversi demi kontroversi yang melanda.

Selain berdepan isu tidak memulangkan semula busana yang dipakainya ketika mengacara, bintang kelahiran program realiti popular, Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini juga dituduh dalam kes kehilangan wang di set penggambaran sebuah program.

Tidak cukup dengan itu, pelantun lagu Antara Dua ini juga khabarnya diisytiharkan sebagai muflis oleh Jabatan Insolvensi Negara.

Mengakui sedikit terkesan dengan kontroversi yang terpalit, isteri kepada Johan Johari ini bagaimanapun enggan lagi menoleh ke belakang mengenang kisah silam.

“Biarkanlah semuanya berlalu. Sejak saya keluar dari AF2, saya tidak pernah ambil pusing dengan apa yang orang kata mengenai saya.

“Apa yang penting, orang di sekeliling saya terutamanya suami dan keluarga tahu akan kejadian sebenar yang berlaku kepada saya.

“Itu sudah cukup memadai buat saya,” katanya ketika ditemui Zass, kelmarin.

Kata Farah lagi, dia menganggap cerita-cerita panas itu sebagai satu dugaan dari ALLAH SWT sepanjang bergelar anak seni.

“Masa mula-mula terjadi, saya sangat kecewa dan bersedih tetapi selepas meminta pandangan dan nasihat daripada ustazah, saya berasa tenang.

“Saya anggap ia sebagai sebahagian daripada dugaan kecil yang ALLAH SWT bagi kepada saya.

“Jangan terkejut, rezeki saya juga semakin murah dan ini sedikit sebanyak menaikkan semangat saya semula,” katanya. 

Kembali aktif menyanyi

Tidak hanya terpalit dengan kisah kontroversi, penyanyi berusia 29 tahun ini juga pernah merancang untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Tambahan pula, Farah terlibat sama dalam menyanyikan semula lagu runut untuk filem Cindarella 2013 lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose, Sehati Sejiwa. 

Biarpun rindu untuk merakamkan lagu baharu, hasratnya itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara waktu memandangkan anaknya, Elsa Johan masih lagi menyusu badan.

“Anak saya kini sudah menjangkau usia dua tahun, tapi dia masih belum putus susu lagi. Sebab itulah, saya tidak boleh bergerak aktif lagi.

“Kekangan masa juga menyebabkan saya lebih gemar mengambil majlis-majlis korporat.

“Tunggulah dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi. Saya pun rindu hendak masuk studio,” katanya yang menjaga sendiri anaknya itu.

Begitu pun, kata pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu, dia sudah ada beberapa perancangan jika hendak kembali aktif. 

“Saya merancang untuk menyanyikan semula beberapa lagu lama sama ada dari Malaysia atau Indonesia.

“Masalahnya, saya tidak tahu bagaimana proses untuk menyanyikan semula lagu-lagu tersebut terutamanya daripada segi hak cipta.

“Banyak lagi yang perlu saya lihat sebelum dapat merealisasikannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah kini sibuk mengacarakan program Soal Wanita di TV Al Hijrah selain bakal menjadi pengacara untuk beberapa program lain.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment