Thursday, 20 November 2014

Indeks Penyumbang Dunia 2014: Malaysia di tangga ke-7

Bantuan terhadap mangsa bencana di beberapa buah negara melonjakkan Malaysia dalam Indeks Penyumbang Dunia 2014. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia mendapat perhatian khusus dalam laporan Indeks Penyumbang Dunia 2014 atas lonjakan yang ketara ke tangga ketujuh berbanding kedudukan ke-71 pada tahun lalu.

Menurut indeks tersebut, Malaysia yang mencatatkan skor 55 peratus menunjukkan peningkatan dalam kesemua ketiga-tiga kaedah sumbangan bantuan lalu membolehkan kenaikan 26 peratus mata.

Perubahan tersebut dikaitkan dengan usaha kemanusiaan yang dijalankan dalam membantu mangsa-mangsa Taufan Haiyan di kepulauan Filipina, selain rekod sumbangan kepada beberapa mangsa bencana lain di China dan Jepun.

Malaysia mencatatkan 63 peratus dalam skor bantuan kepada pihak yang memerlukan, 60 peratus bagi skor sumbangan derma dan 41 peratus bagi skor kesukarelawanan.

Untuk tahun kelima, Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF) telah mengeluarkan senarai indeks tersebut iaitu sebuah kajian yang menjalankan kaji selidik dan membuat penarafan dalam kalangan negara-negara sedunia yang melaksanakan usaha sumbangan kebajikan.

Yayasan yang berpangkalan di Britain itu memberi fasilitasi dan menggalakkan sumbangan untuk tujuan kebajikan. Ia menggunakan sistemnya sendiri untuk menetapkan penarafan (ranking) berdasarkan maklumat dari kaji selidik sedunia mengenai bantuan kebajikan yang dihulurkan sesebuah negara kepada pihak yang memerlukan, sumbangan derma dan usaha kesukarelawanan.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan teratas dikongsi Myanmar dan Amerika Syarikat (AS), dan diikuti Kanada, Ireland dan New Zealand.

Terdapat pihak yang tidak memahami sebab negara besar dengan sumber kekayaan seperti AS boleh berkongsi kedudukan dengan negara miskin seperti Myanmar dalam senarai tersebut.

Namun, menurut pihak CAF, penarafan Myanmar itu sebenarnya turut mengambil kira tentang kesanggupan dan penglibatan menyeluruh rakyatnya dalam menghulurkan derma.

Skor 91 peratus yang diperoleh Myanmar antara lain disebabkan sifat pemurah rakyatnya yang melakukan kebajikan dengan cara menderma. Sifat memberi tersebut, menurut CAF, dicetus daripada penghayatan ajaran Buddha oleh majoriti rakyat negara tersebut. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment