Saturday, 29 November 2014

Bila 'fitnah' bermaharajalela, satu 'kampung' huru-hara

Bila fitnah bermaharajalela, satu 'kampung' huru-hara

KUALA LUMPUR: Bukan sesuatu yang baharu apabila bangsa Melayu menjadi subjek dalam sesebuah filem. Baik secara tersurat mahu pun tersirat, subjek itu menjadi sesuatu yang taboo sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Filem Lelaki Harapan Dunia menggunakan alasan satira dengan genre komedi gelap yang penuh simbolik. Filem ini kukuh pada jalan cerita bersandar satira politiknya dengan kritikan sosial yang cukup mencuit.

Tidak keterlaluan banyak hati yang kecil cepat terasa dengan apa yang dipersembahkan oleh Liew Seng Tat, sang sutradara filem terbarunya, Lelaki Harapan Dunia.

Pengarah Mamat Khalid pernah bercakap mengenai angan-angan orang Melayu dalam Man Laksa dan Kala Malam Bulan Mengambang juga bercakap mengenai Melayu. Subjek teras Abang, Matinya Seorang Patriot dan Tsu Feh Sofia arahan Datuk Rahim Razali masih mengenai Melayu.

Ringgit Kasorgga mendedahkan kerakusan politikus Melayu digarap secara berhati-hati oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Jogho juga mengenai Melayu yang bersimbolik dalam konflik laga lembu oleh pengarah ikonik U-Wei Hajisaari.

Cuma kali ini filem yang bercerita mengenai Melayu diarahkan oleh seorang pengarah berbangsa Cina, Liew Seng Tat, sekaligus menjadi taboo kepada sesetengah karyawan Melayu.

Lapisan demi lapisan dikupas, adegan demi adegan dibaca tentang bagaimana satu tradisi angkat rumah yang pernah popular satu ketika dahulu menjadi cerita yang lebih besar skopnya dalam filem tersebut.

Di dalam imaginasi pengarahnya, semangat muafakat penduduk kampung boleh bertukar kacau-bilau apabila fitnah, penyalahgunaan kuasa, bodek pemimpin dan tahyul semakin bermaharajalela.

“Semangat kekitaan inilah yang boleh buat kita bersatu. Bila tenaga ini bersatu, ia jadi kuat. Semangat inilah yang akan buat kita bergerak lebih jauh lagi. Malangnya, semangat ini juga boleh memberikan sesuatu yang lebih buruk. Inilah yang ingin saya sampaikan pada lapisan lain dalam filem ini.” ulas Seng Tat mengenai filem terbarunya.

Sindiran sinis yang disampaikan dalam filem tersebut bukanlah tidak pernah berlaku dalam negara ini. Ada bukti nyata yang sering kita baca di dada akhbar dan ada angka nyata yang terpapar dalam Laporan Audit Negara dan laporan box-office FINAS.

Rasa tertampar dengan sindiran sinis itu sudah dijangkakan.

Antara bintang popular yang membintangi filem ini termasuk Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Jalil Hamid dan Sofi Jikan.

Membawakan watak sebagai Wan dalam filem itu, Sofi berkata keunikan semangat gotong royong yang menjadi teras filem ini menjadikan bangsa Melayu bersatu.

“Masa pertama kali saya membaca skrip filem ini rasa seronok macam Hantu Kak Limah. Penuh salah sangka, satira, kritik sosial, pemasalahan masyarakat, pemikiran ortodoks, pemikiran konvensional dan pertembungan generasi. Kita mahu berkongsi, bersatunya masyarakat dahulu adalah kerana semangat gotong royong. Dengan gotong-royong itu Melayu bersatu. Bangsa kita memang itu tunjangnya. Semua ada fungsi masing-masing," tambah Sofi Jikan.

Wan lakonan Sofi menjadi punca salah sangka yang merobohkan kesatuan yang telah dibina pada awalnya. Rumah usang Pak Awang dituduh berhantu. Tanpa bukti, penduduk kampung berusaha untuk memusnahkannya.

Menariknya Lelaki Harapan Dunia apabila penonton sedaya upaya menterjemah dialog yang disampaikan dengan kisah-kisah yang dekat dengan mereka.

Namun sebagai pembikin, saya merasakan Seng Tat wajar untuk memperkemaskan lakonlayarnya agar lapisan lain dalam cerita yang mahu disampaikan tidak terlalu senang untuk dibaca.

Sebagai sebuah filem, inilah antara filem yang terbaik dari aspek pembikinannya, baik dari segi sinematografi mahu pun pengarahan seni. Setiap satu pasukan telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang untuk menjadikan Lelaki Harapan Dunia cukup sifatnya.


Sebelum bertandang ke Malaysia, filem yang menerima pelbagai dana antarabangsa ini telah menjelajah ke serata dunia antaranya Toronto, Vancouver, Torino, Locarno, Taipei, Kolkata dan yang terbaru Singapura.

Kata Seng Tat, walaupun filem itu telah menjelajah festival filem antarabangsa di seluruh dunia, baginya filem itu masih dibikin untuk penonton tempatan yang lebih memahami budaya dan resam masyarakat di sini.

“Penonton luar negara ada yang tidak pernah datang ke negara kita dan kenal budaya kita. Mereka masih terhibur dengan apa yang dipersembahkan. Namun, saya rasa penonton tempatan akan dapat lebih menikmati filem ini. Memang saya buat filem ini untuk penonton kita. Ada banyak perkara di dalamnya yang relevan dengan masyarakat kita," cerita Seng Tat berkongsi pengalamannya di sana.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment