Friday, 14 November 2014

Bekas pengurus saman Zizan Razak setengah juta Ringgit

Isu pelanggaran kontrak antara pelakon popular Zizan Razak dengan bekas pengurus peribadinya, Marina Juki kini melibatkan saman. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Isu pelanggaran kontrak yang heboh diperkatakan berlaku antara pelakon popular Zizan Razak dengan bekas pengurus peribadinya, Marina Juki kini semakin berlarutan.

Marina yang juga rakan kongsi Zizan telah memfailkan saman terhadap selebriti tersebut dengan nilai setengah juta ringgit di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah pelakon itu didakwa melanggar persetujuan yang ditandatangani bersama syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd (Wire Fame).

Saman terhadap pelakon dengan nama sebenar Mohd Razizan Ab Razak itu difailkan Marina pada 6 November lalu.

Tindakan saman itu dianggap kemuncak kemelut antara mereka berikutan pelanggaran kontrak Zizan selama 4 tahun yang sepatutnya berakhir pada 2 Mei 2015.

Zizan diberitakan telah mengikat kontrak bersama syarikat pengurusan lain pada Mei tahun ini sedangkan kontraknya bersama Wire Fame masih berbaki.

Marina selaku plantif menuntut ganti rugi khas lebih RM500,000, ganti rugi am sebanyak 15 peratus daripada semua pendapatan yang diperoleh defendan (Zizan) daripada syarikat pengurusan baharu.

Pada 23 Julai lalu, satu pertemuan antara pihak Wire Fame, Marina dan Zizan telah dijalankan bagi mencari penyelesaian terhadap hal pelanggaran kontrak tersebut.

Pihak Wire Fame dan Marina telah menuntut, antara lain, ganti rugi bagi pelanggaran tersebut dan lain-lain kos yang dianggap munasabah oleh pihak mahkamah.

Marina turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada meneruskan kontrak dengan syarikat pengurusan lain. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment