Sepasang suami isteri rentung apabila kenderaan mereka terbakar selepas bertembung dengan bas persiaran dalam kemalangan di Pekan, hari ini.
PEKAN: Sepasang suami isteri rentung apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah bas persiaran dalam kemalangan di KM16 Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Sungai Miang, Pekan hari ini.
Mangsa yang terbunuh adalah pemandu kereta, seorang anggota tentera Mohd Safiuddin Mohd Sezali, 26, berasal dari Kampung Panchor Merah, Permaisuri, Terengganu dan isterinya, Nor Farina Rosli, 26, dari Kampung Edang, Melor, Kelantan yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Desa Sungai Sayong Kluang, Johor.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata dalam kejadian 4.45 pagi itu kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang sedang menghala ke Kuala Terengganu bersama 30 penumpang.
"Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan tersebut hangus terbakar dan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Persona itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya kesemua penumpang bersama pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Yahaya berkata berkata pihak bomba yang dimaklumkan tentang kejadian itu kira-kira 5 pagi bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Nenasi bersama 11 anggota dan pegawai.
Bagaimanapun, katanya mangsa tidak dapat diselamatkan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat," katanya.
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment