SKUAD pelayaran mengembalikan keceriaan kontinjen negara pada Temasya Sukan Asia Ke-17 di sini, yang terkejut dengan penarikan balik pingat emas atlet wushu Tai Cheau Xuen selepas gagal ujian doping, dengan memenangi satu pingat emas dan tiga pingat perak pada Selasa.
Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz meraih pingat emas dengan mengungguli acara 420 Lelaki Dinghy dengan mengumpul 21 mata penalti selepas 12 perlumbaan di Wangsan Sailing Marina.
Pingat perak pula dimenangi Ibuki Koizumi/Kotaro Matsuo dari Jepun dengan 27 mata penalti manakala pingat gangsa menjadi milik Loh Jia Yi/Jonathan Yeo dari Singapura dengan 41 mata penalti.
Mohamad Faizal, selaku jurumudi, berkata beliau dan Ahmad Syukri gembira dapat menamatkan perlumbaan itu dengan jayanya, setelah acara itu ditangguhkan semalam kerana faktor cuaca.
"Saya dan Ahmad Syukri tidak tertekan walaupun pasangan Singapura dan Jepun bersungguh-sungguh mahu mengatasi kami," katanya kepada pemberita di sini.
Tiga pingat perak pula dimenangi menerusi Khairulnizam Afendy dalam acara Laser Lelaki, Dhiauddin Rozaini (Optimist Lelaki) dan Nuraisyah Jamal-Umi Norwahidah Sallahuddin (420 Wanita).
Pada Sukan Asia Guangzhou empat tahun lepas, pingat emas dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas 420 Wanita Antarabangsa.
Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment