Saturday, 25 October 2014

Dua wanita termasuk seorang anggota polis ditahan memiliki dadah


Dadah yang dirampas termasuk erimin 5 dan ecstacy.

KUANTAN: Dua wanita termasuk seorang anggota polis ditahan kerana memiliki sepuluh butir peluru dan sejumlah dadah di sebuah rumah di kuarters Jabatan Pertanian Karak dekat Bentong, semalam.

Sepasukan polis dari Balai Polis Karak yang membuat serbuan pada 1.21 tengah hari itu turut merampas peluru jenis 0.38 serta dadah yang dijumpai dalam beg milik anggota polis berpangkat Lans Koperal itu.

Difahamkan, dadah yang dirampas termasuk tiga biji pil disyaki erimin 5 anggaran berat 0.88 gram, dua biji pil kuning dan separuh biji pil biru disyaki ecstacy berat kasar 1.23 gram dan dua batang jarum suntikan.

Dalam beg yang sama, polis turut menemui kad kuasa dan pas keselamatan polis dan dua telefon bimbit.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kediaman itu, polis menemui satu tin yang mengandungi satu paket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu anggaran berat 0.51 gram dan satu batang jarum di penjuru kaki katil dalam sebuah bilik.

Berikutan penemuan tersebut, anggota polis yang beralamat di Jalan AU/1, Ampang Ulu Klang, Kuala Lumpur dan rakannya yang merupakan warga Indonesia dari Jakarta masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku dadah tersebut diperoleh daripada seorang lelaki Cina di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam kes berkenaan.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api berikutan penemuan 10 butir peluru dan Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment