Tarian Ngajat yang menjadi foto latar belakang di erai pameran Malaysia di Pesta Buku Frankfurt 2014 (Foto: ITBM)
Astro AWANI menerima beberapa komen di ruang Facebook susulan laporan media Indonesia yang mengatakan bahawa Tarian Ngajat yang menjadi tarian tadisinal di Satawak dicuri dari tarian suku kaum Dayak di Kalimantan.
Rata-rata komen tersebut datang dari pembaca suku kaum Dayak di Malaysia sendiri yang menjelaskan bahawa suku kaum Dayak yang berada di Kalimantan, Borneo mahupun Sarawak adalah dari keturunan yang sama.
Selain itu, ramai yang beranggapan media Indonesia sengaja memperbesar-besarkan perkara tersebut sedangkan tiada isu tiru-meniru.
“Kami orang Iban kategori Dayak tinggal di Sarawak, di Kalimantan pun ada Dayak Iban, begitu juga di Borneo. Tak ada istilah siapa curi siapa kerana kami dari keturunan yang sama,” kata Jennifer G Ussan yang menerima 19 balasan dari pembaca lain yang turut bersetuju dengan apa yang dikomennya.
“Tarian Ngajat bagi kaum Iban Dayak memang ada di Kalimantan, Indonesia serta Sarawak dan Sabah. Secara amnya tarian Ngajat adalah tarian tradisional Iban Dayak di Borneo,” komen Muhdadam Adamiskandar.
“Tahu tak, Iban di Kalimantan, Indonesia sama dengan Iban di Sarawak, kaum Bidayuh di Sarawak sama dengan Bidayuh di Kalimantan, manakala orang Ulu di Sarawak sama dengan orang Ulu Kalimantan.
Kami bersaudara, kami berkongsi sempadan, kami berkongsi bahasa, kami berkongsi budaya dan kesenian. Jadi sentimen negatif tidak wujud dalam masyarakat Dayak Sarawak dan Dayak Indonesia. Kami hidup aman dan damai. Provokasi diwujudkan oleh manusia rakus dari pulau lain selain Borneo. Kekayaan dan nikmat keamanan amat dihargai, malah kami tahu kami serumpun. Kami tak perlukan unsur-unsur negatif di sini,” kata Peter Gunner.
“Di Indonesia dan Malaysia masing-masing ada kaum Dayak. Saya salah seorang dari kaum Dayak mengaku ada persamaan tarian disebabkan kami berasal dari rumpun yang sama iaitu kepulauan Borneo. Jadi apa yang nak dipertikaikan. I'm proud to be Dayak Malaysia,” komen Cdiks J Markovic.
“Hanya mainan media. Abaikan. Kami Dayak tetap sama, pada identiti, kebudayaan dan genetiknya. Tidak kisah di mana bumi dipijak, kami adalah satu. Mungkin Dayak itu ada di segenap negara di dunia ini, tapi jangan pula timbul anggapan kebudayaan Dayak itu dimiliki oleh sesebuah negara, kerana ianya tidak.
Ianya milik kami bangsa Dayak. Bilangan Dayak di Kalimantan lebih ramai daripada di Sarawak. Yakni, yang di Sarawak itu migrasi daripada Kalimantan Barat. Ianya terangkum dalam satu tempat asal iaitu, Pulau Borneo,” kata Mos Rengie.
“Di Kalimantan ada satu suku kaum Dayak yang dipanggil Kantu. Iban dengan Kantu ini dahulunya adalah musuh. Kantu ini dikatakan ganas. Jadi Iban pun membalas serangan dari Kantu.
Apabila sudah menang, kaum wanita Iban menarikan tarian Ngajat sebagai menyambut kepulangan wira mereka dari perang. Jadi adakah tarian ini milik Indonesia?
Masyarakat Kantu sendiri pun ada tariannya sendiri. Jadi mengakui hak itu sepatutnya tak berlaku kerana ianya tak relevan,” kata Jessy Tambi.
Tidak kurang juga beberapa rakyat Indonesia yang menyelar laporan berita dari portal tersebut.
“Mohon maaf, kami di Indonesia pun banyak mengkritik pemberitaan tersebut. Sila kunjungi FB Beritasatu yang juga membuat laporan tersebut,” kata Yosua Desandro.
“Saya orang Indonesia, kami dari Sumatera tidak pernah mempermasalahkan budaya itu dan ini, sebab kami sedar bahawa Indonesia dan Malaysia itu sebangsa dan serumpun, ini hanya ulah (kerenah) media Indonesia yang selalu mengalihkan perhatian rakyat Indonesia dari masalah negara yang tengah hangat diperbincangkan di media Indonesia,” komen Zulhamdi Syamsul Azhar
Terdahulu, laporan yang dipetik dari portal Suara Pembaharuan menyatakan bahawa foto ‘Tarian Ngajat’ oleh lima penari yang digunakan sebagai gambar latar belakang gerai pameran Malaysia di Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2014 adalah berasal dari suku kaum Dayak Indonesia.
Dalam laporan yang sama turut menuduh slogan yang digunakan iaitu ‘Unity in Diversity’ adalah berasal dari simbol bangsa Indonesia 'Bhinneka Tunggal Ika' yang membawa maksud yang sama iaitu 'berbeza-beza tetapi satu'.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment