Thursday, 9 October 2014

Annabelle: Misteri patung vintaj


BAGI anda yang pernah mengikuti filem ‘The Conjuring’ arahan James Wan tahun lalu, pasti masih merasai keseraman dan kejutan yang disuntik Wan di dalam filem ketujuhnya itu.

‘The Conjuring’ merupakan filem yang mengangkat tema seram, suspen dan ‘thriller’ yang jalan ceritanya dikatakan diangkat dari kisah sebenar kehidupan sebuah keluarga yang mengambil latar masa pada tahun 1970-an.

Atas kejayaan filem tersebut yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga RM600juta berbanding kos pembikinan filem yang dianggarkan sekitar RM60juta sahaja, James Wan sekali lagi bertindak sebagai penulis menggarap naskhah terbaru, Annabelle.

Annabelle juga dikatakan di ambil dari kisah benar mengenai sebuah patung vintaj yang penuh misteri.

Bagaimanapun naskhah kali ini diarahkan oleh John R. Leonetti dan membariskan barisan pelakon seperit Annabelle Walli, Alfre Woodard, dan Eric Ladin.

Annabelle mengisahkan kehidupan Mia dan John, sepasang suami isteri yang diganggu oleh makhluk halus yang dipercayai berpunca dari sebuah anak patung yang dibeli oleh John dan dibawa ke rumah.

Beberapa kejadian pelik dan menyeramkan mulai menyelubungi kehidupan mereka.

Biarpun trailer filem ini mampu menyuntik rasa seram dan memberi keinginan untuk anda menontonnya di pawagam, namun nasihat penulis, jangan meletak harapan yang tinggi.

Ini kerana, kedua-dua kisah seram ini digarap oleh pengarah yang berlainan dengan cerita yang pelakon yang berlainan.

Biarpun mempunyai kesan bunyi yang cukup membuatkan jantung anda berdebar, namun debaran dan kejutan itu tidak lama dan lebih mengecewakan keseluruhan filem ini berbeza dengan impak filem The Conjuring.

Plot boleh di agak

Kelemahan utama filem ini adalah plot penceritaan yang sudah boleh di agak dari mula hingga akhir.

Leonetti gagal mengekalkan kecemerlangan Wan menerusi Annabelle biarpun patung vintaj itu sendiri mempunyai satu kisah yang cukup kuat.

Apatah lagi, dengan muka yang menakutkan, ia mampu membuatkan anda rasa meremang sekiranya merenung patung itu lebih lama.

Lakonan mantap

Bagaimanapun mujur Leonetti mempunyai barisan pelakon yang cukup mantap dan meyakinkan dalam menjayakan watak masing-masing.

Penghayatan watak yang cukup berjaya itu akan membuatkan anda masih merasa debaran itu walaupun tidak cukup kuat apabila melibatkan babak seram.

Pujian juga harus diberikan kepada Walli yang berjaya melakonkan wataknya sebagai Mia dengan baik sekali.

Bagi anda yang meminati filem seram dan pernah menonton The Conjuring, rasanya anda perlu untuk menonton filem ini di pawagam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment