Wednesday, 17 September 2014

UPSR: 10 individu ditahan sehingga hari ini

Sepuluh individu itu termasuk tiga guru yang ditahan di Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu ditahan polis berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris, setakat hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata daripada 10 individu itu, lapan adalah guru serta masing-masing seorang ejen insurans dan jurutera.

"Sepuluh individu itu termasuk tiga guru yang ditahan di Negeri Sembilan malam tadi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lepas, empat lelaki direman selama empat hari hingga esok, manakala semalam polis memperoleh perintah mahkamah menahan reman seorang jurutera selama empat hari.

Hari ini, polis turut memperoleh perintah mahkamah bagi menahan reman tiga guru termasuk seorang wanita selama empat hari.

"Dua lagi guru yang ditahan Ahad lepas telah dibebaskan atas jaminan polis selepas diambil keterangan mereka pada hari yang sama (Ahad)," katanya.

Sehingga kini, seramai 18 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), sembilan guru, dan masing masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lepas manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

-- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment