Sharnaaz-Anis semakin intim?
PENGAKUAN pelakon popular, Sharnaaz Ahmad, mengenai hubungan istimewanya bersama pelakon baharu dan model, Sharifah Anis Al Idrus, menamatkan spekulasi yang timbul sejak Ramadan lalu.
Malah, berita gembira ini disambut bahagia di kalangan peminatnya, tidak kurang juga mendoakan yang terbaik buat pasangan ini.
Namun, di sebalik berita gembira itu, timbul pula kontroversi mengenai gambar mesra mereka berdua yang dirakam ketika majlis ulang tahun kelahiran Sharnaaz ke-29 pada 30 Ogos lalu.
Mana tidaknya, gambar pasangan ini yang dikatakan merangkul pinggang masing-masing dilihat tidak manis apatah lagi Anis amat sinonim di kalangan 'hijabister'.
Malah, imej bertudungnya itu memberi persoalan hebat di kalangan peminat mengenai tindakan mereka berdua yang dilihat kurang bersesuaian. Bagaimanapun, Sharnaaz mengambil pendekatan selamat untuk tidak memberi apa-apa kenyataan berhubung perkara itu.
"Saya malas nak komen. Saya tak nak cakap apa-apa mengenai perkara itu. Biarlah...," katanya ringkas kepada Zass.
Dua tahun berkawan
Sejak hubungan cintanya kecundang satu ketika dahulu, Sharnaaz lebih selesa menyendiri walaupun dirinya turut dikaitkan dengan beberapa nama pelakon wanita.
Namun ternyata, kehadiran Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 26, berjaya mengetuk pintu hatinya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius. Pun begitu, pelakon drama bersiri, Bukan Kerana Aku Tak Cinta, ini enggan mengistilahkan hubungan itu sebagai cinta dan hanya memberitahu hubungan mereka semakin rapat.
Menerusi satu temu bual, akui Sharnaaz, mereka telah berkawan sejak dua tahun lalu dan melalui fasa demi fasa perkenalan.
"Saya tidak mahu berkongsi hal peribadi secara berlebihan dan saya enggan mengaku atau menafikan tentang perhubungan ini. Kami sudah berkawan sejak dua tahun lalu dan sekarang ini hubungan itu lebih akrab.
"Keluarga saya juga sangat menyenanginya dan senang cakap dia mudah didekati dan menghormati orang di sekelilingnya," kata Sharnaaz.
Anis Al Idrus merupakan model dan pelakon beberapa drama termasuk Gemersik Kalbu, Walit Walid, Selamat Malam Kekasih, Tangisan Bulan Madu 2, Dan Bila Esok serta Cuak.
Selain berlakon, pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa pengkhususan Perbankan dan Kewangan dari Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) ini, merupakan usahawan tudung online, Nish.
Malah, anak kelahiran Kota Bharu ini juga pernah bekerja selama setahun sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen tempatan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment