Thursday, 25 September 2014

Konsert Akustika 2 DFP: Jay Jay, Fredo, Zainal Abidin buktikan masih menyengat

Pentas Konsert Akustika 2 menggabungkan barisan artis lama dan baru.

Penyanyi evergreenJay Jay, Fredo dan Zainal Abidin membuktikan bahawa persembahan mereka masih lagi berbisa dan dinanti-nantikan peminat tanah air.

Ia jelas melalui sambutan hebat yang diterima ketika Konsert Akustika 2 yang diadakan pada 20 September lalu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena Seni Festival 2014.

Penyanyi era 80-an, vokalis dan pemain bass Flybaits, Fredo atau nama sebenarnya Villenguez Alfredo Valentino mempersembahkan lima lagu popularnya seperti "Kenangan Lalu", "Andai Kata Serai Berbunga", "Kasih Berubah", "Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta" dan "Gurisan Terakhir."



Fredo mendapat tepukan gemuruh peminat yang hadir.

Tepukan gemuruh didengari tatkala Fredo, 64, memulakan nyanyian dengan lagu "Kenangan Lalu" dan diselang-selikan dengan usikan kepada peminat ketika membuat persembahan.

Penyanyi popular Jay Jay meneruskan persembahan dan membuka tirai dengan lagu "Cukuplah Sekali."

Jay Jay memulakan persembahan dengan lagu "Cukuplah Sekali."

Jay Jay yang mendendangkan lagu "Belaian Jiwa", "Rindu Bayangan" dan "Joget Angan Tak Sudah" turut mengundang peminat untuk bernyanyi bersama. 


Zainal Abidin, kemunculannya masih dinanti-nantikan.

Pada sebelah malamnya, konsert Akustika 2 menutup tirai dengan persembahan daripada bekas penyanyi kumpulan Headwind, Zainal Abidin.

Berbekalkan pengalaman lebih 25 tahun dalam industri seni, Zainal ternyata bijak menambat hati kalangan peminat muda.

Suaranya masih berbisa ketika menyampaikan lagu-lagu hitnya seperti "Ikhlas Tapi Jauh", "Khayalan" dan "Hijau."


Kumpulan Hujan membuka tirai di Konsert Akustika 2 Seni Festival 2014 di Dewan Filharmonik Petronas.
Pentas Konsert Akustika 2 menggabungkan barisan artis lama dan baru. Antara artis yang terlibat ialah Hujan, Elvira Arul, David Gomes, Bunkface, Atilia dan Ning Baizura.

Festival yang bermula 16 September dan berakhir 21 September, menampilkan persembahan dua konsert bercorak ‘unplugged’, konsert Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), serta pameran sepanjang minggu sempena Hari Malaysia.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment