Tuesday, 19 August 2014

Persiapan istiadat penghormatan penerimaan jenazah berjalan lancar

Upacara raptai persediaan menerima jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dijangka tiba dari Amsterdam Jumaat ini giat dijalankan di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang

SEPANG: Persiapan istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai, berjalan lancar.

Seorang pegawai yang terlibat dalam raptai urusan pengendalian jenazah berkata raptai telah diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini untuk melihat pergerakan jenazah ketika tiba pada Jumaat ini.

"Kita akan melihat dari semua sudut yang perlu diperbaiki dan diperkemas untuk memastikan majlis istiadat penghormatan penerimaan jenazah berjalan lancar pada Jumaat ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 akan tiba pada Jumaat kira-kira 10 pagi dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jumaat ini (22 Ogos) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah mangsa nahas MH17.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini mendapati raptai yang dijalankan untuk melihat pergerakan jenazah dari kedua-dua pintu kargo pesawat ke van jenazah.

Anggota tentera dilihat mengusung keranda dan bekas abu khas yang ditutup dengan jalur gemilang dari pintu kargo pesawat sebelum ditempatkan dalam van jenazah.

"Kita cuba beberapa senario termasuk menggunakan satu pintu kargo atau kedua-dua pintu kargo ketika ketibaan keranda. Semua ini akan diperkemas lagi," kata pegawai itu.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata 300 anggota di bawah naungan 12 Briged Infantri Malaysia akan terlibat dalam istiadat penghormatan penerimaan jenazah.

"Empat helikopter akan menerbangkan jenazah di Semenanjung Malaysia manakala dua pesawat Charlie disediakan untuk menerbangkan jenazah ke Sarawak," kata jurucakap ATM.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan kumpulan pertama jenazah yang terdiri daripada 15 rakyat Malaysia dan seorang warga Belanda dalam tragedi pesawat MH17 akan tiba di KLIA.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong pula berkata 22 jenazah termasuk empat bekas berisi abu mayat mangsa dijangka dihantar pulang dari Amsterdam.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - Bernama

No comments:

Post a Comment