Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya selepas solat Jumaat, petang semalam
DUNGUN – "Petang sebelum arwah jatuh sakit, dia sempat bergurau dengan saya minta air minuman, dia pesan air istimewa dengan ucapkan ‘I love you’, namun saya tak sangka itulah gurauan terakhirnya sebelum dia menemui ajal”.
Kata Safura Abu Bakar, 50, balu kepada Allahyarham Husain Sukri, 51, bekas Bendahari Umno Bahagian Dungun yang meninggal dunia awal pagi kelmarin akibat sakit jantung.
Menurut Safura, arwah yang juga Pengurus Pasukan Petanque Sukma Terengganu sebelum itu baru pulang dari Perlis selepas beberapa hari bersama atlet di negeri utara itu.
"Sebaik sampai di rumah, arwah mengadu sesak nafas lalu saya bawa dia ke sebuah klinik swasta di bandar Dungun untuk mendapatkan rawatan.
"Sebaik pulang dari klinik, kesihatan arwah nampak bertambah baik dan sempat menghabiskan nasi bubur yang saya masak," katanya.
Bagaimanapun pada sebelah malamnya, Husain kelihatan semakin lemah lalu Safura membawa suaminya itu ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
Kata Safura, doktor di Hospital Dungun cuba memberikan rawatan, namun keadaannya kian lemah menyebabkan suaminya itu terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, arwah yang ketika itu dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung makin tenat sebelum menghembuskan nafasnya terakhir jam 5.20 pagi.
Sempat siram pokok bunga
Mengimbas kembali detik terakhir bersama arwah suaminya, Safura berkata, ketika berada di rumahnya kira-kira jam 2 petang di Kampung Molek sebelum dia dibawa ke hospital, arwah sempat menyiram pokok bunga di halaman rumahnya.
“Dia menyuruh saya menyiram pokok bunga, namun saya kata selepas Asar tunggu keadaan cuaca mendung sedikit.
“Namun, dia tak sabar-sabar lalu terus menyiram pokok bunga itu, malam itu dia jatuh sakit sebelum meninggal sebelum Subuh,” kata Safura yang merupakan seorang guru di SK Sura.
Banyak berjasa kepada Umno
Allahyarham Husain sebelum ini antara individu yang banyak berjasa kepada Umno Bahagian Dungun.
Arwah merupakan Pengerusi JKKK Kampung Molek, Bendahari Umno Bahagian, dan baru mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Dungun (MPD).
Jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Tengku Intan Zaharah Kampung Molek selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Jalan Nibong kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin yang sempat mengiringi jenazah arwah ke tanah perkuburan berkata, arwah merupakan seorang yang begitu komited terhadap tugas yang diamanahkan sehingga pasukan Petanque Terengganu berjaya memungut beberapa pingat pada Sukma di Perlis baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment