Penghulu Dihoi Nyawen, 58, (kiri) memakaikan topi tradisional suku kaum Bidayuh pada isterinya, Kisem Jones, 55, di hadapan rumah tradisional mereka sebagai persiapan menyambut perayaan Gawai Dayak. --fotoBERNAMA
SERIAN: Hari Gawai Dayak disambut secara sederhana tetapi meriah oleh seluruh masyarakat Dayak di Sarawak hari ini dengan mengadakan acara-acara tradisi dan tidak ketinggalan majlis rumah terbuka.
Sambutan dimeriahkan dengan budaya 'ngabang' iaitu amalan kunjung mengunjung antara anggota keluarga terdekat dan rakan taulan.
Penduduk Sarawak bercuti dua hari sempena perayaan itu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga Anggota Parlimen Serian tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka di kampung kelahirannya, Kampung Pichin, dekat sini.
Majlis yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Pichin itu bermula 10 pagi diserikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti pertunjukan pakaian tradisi, persembahan tarian tradisional masyarakat Dayak dan acara 'Minum Ucap Selamat Gawai'.
Pada majlis yang sama turut diadakan pogram turun padang agensi-agensi Kementerian Sumber Manusia dan majlis bertemu pelanggan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2014.
Esok Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia: Hari Gawai Dayak 2014 di Dataran Kipas, Miri.
- Bernama
No comments:
Post a Comment