Thursday, 5 June 2014

Peniaga masih ragui status halal Cadbury

Safari menunjukkan sekotak coklat Cadbury yang masih disimpan dan akan dikembalikan ke syarikat berkenaan.
Safari menunjukkan sekotak coklat Cadbury yang masih disimpan dan akan dikembalikan ke syarikat berkenaan.


KUANTAN - Peniaga dan pengguna masih meragui status halal dua produk Cadbury walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengesahkan ia bebas DNA babi.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar mini di sekitar Kuantan mendapati peniaga Muslim tidak lagi menjual produk berkenaan kerana masih tidak yakin dengan status halal.

Pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Aini, 30 berkata, sejak Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury mempunyai DNA babi, pihaknya serta merta menghentikan penjualan.

Menurutnya, walaupun kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Jakim mengatakan Cadbury halal, ia tidak menghalang rasa was-was.

“Sebelum ini memang kedai kami menjual Cadbury tetapi apabila keluar kenyataan ia tidak halal, stok yang ada terus disimpan.

“Kami tidak menjual Cadbury dan sejak penjualan coklat itu dihentikan, tiada seorang pelanggan bertanya tentang hal itu serta jauh sekali untuk membeli.

“Walaupun sudah disahkan halal, buat masa sekarang memang kami tidak akan menjual kesemua produk Cadbury,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja mini market di Indera Mahkota, Safari Yusof 24, berkata, sejak isu berkenaan diperkatakan kesemua stok coklat Cadbury disimpan dan akan dikembalikan kepada syarikat berkenaan.

“Serta-merta penjualannya dihentikan.

"Sekarang kami masih tidak menjualnya walaupun sudah disahkan halal.

“Mungkin selepas ini kami akan teruskan jualan tetapi produk sedia ada akan dikembalikan dan kami akan menggunakan produk baru yang lebih diyakini," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment