Wednesday, 25 June 2014

Panda gergasi kembalikan kegemilangan Zoo Negara

Kehadiran panda gergasi di Malaysia dijangka dapat mengembalikan 'zaman kegemilangan' Zoo Negara susulan penurunan jumlah kehadiran pengunjung sejak enam tahun lepas.

Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Datuk Zaharin Md Arif berkata orang ramai kini dilihat semakin menunjukkan minat untuk mengunjungi Zoo Negara selepas mengetahui kehadiran pasangan panda gergasi itu.

Sejak 2008, kehadiran tahunan pengunjung tempatan mencatatkan penurunan antara 30,000 ke 40,000 setiap tahun daripada purata 740,000 pengunjung.

"Bagaimanapun, pengunjung tempatan mula kembali termasuk untuk melihat pembinaan Pusat Konservasi Panda Gergasi dan diharapkan trend ini akan terus meningkat apabila ia dibuka 28 Jun ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Pusat Konservasi Panda Gergasi dan Sambutan Ulang Tahun Zoo Negara ke-50 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zaharin berkata kedua-dua panda gergasi itu semakin 'selesa' di 'rumah baharu' mereka dan berat badan haiwan itu dilihat bertambah sejak tiba di Malaysia pada 21 Mei lalu.

Beliau turut memberitahu harga tiket untuk menyaksikan panda gergasi itu adalah RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Pada majlis perasmian itu, Najib mengumumkan 'identiti tempatan' untuk pasangan panda itu dengan memberikan nama Xing Xing yang bermaksud makmur bagi panda jantan dan Liang Liang (cantik) kepada panda betina.

Nama-nama itu dipilih berdasarkan 'Pertandingan Menamakan Pasangan Giant Panda' anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2012.

Sementara itu, guru, Soon Choon Yen, 54, yang mencadangkan nama Liang Liang kepada panda betina memberitahu beliau telah lama meminati rupa panda yang bulat berwarna putih dengan 'lingkaran hitam' pada mata.

"Perkataan cantik sentiasa bermain di fikiran setiap kali melihat panda. Lebih menarik, Liang Liang juga berbunyi seakan-akan 'riang' dalam Bahasa Melayu, dan saya rasa ia adalah nama yang paling sesuai untuk panda itu," katanya.

Soon, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah menewaskan lebih 2,000 peserta lain yang diterima dalam pertandingan untuk menamakan panda gergasi itu.

Sementara itu, nama Xiang Xiang dicadangkan pelajar Chia Chee Nee, 22, dari Sandakan yang tidak dapat hadir ke majlis itu kerana sedang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Idea kreatif mereka menamakan kedua-dua panda itu membolehkan Soon dan Chia dinobatkan sebagai pemenang pertandingan sekali gus membawa pulang sebuah kereta
Proton Preve setiap seorang. - Bernama


No comments:

Post a Comment