Friday, 6 June 2014

Kadar penembusan jalur lebar Malaysia capai 67.3%

Kadar penembusan jalur lebar Malaysia capai 67.3%


KUALA LUMPUR: Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia semakin meningkat dengan angka semasa kini mencecah 67.3 peratus, iaitu hanya 7.7 peratus untuk mencapai sasaran 75 peratus menjelang tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata kadar terbaru itu merupakan peningkatan sebanyak 11.7 peratus dalam tempoh empat tahun lepas.

Beliau berkata peningkatkan kadar penembusan jalur lebar itu membuka ruang kepada Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan menikmati pembangunan mapan.

"Komunikasi merupakan satu elemen penting dalam kehidupan kita dan dengan dikuasakan oleh jalur lebar, komunikasi pada hari ini hanyalah di hujung jari anda dan dunia kini menjadi tanpa sempadan," katanya dalam ucapan perasmian Kempen Melawat Muzium Telekom 2014 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha II kementerian Datuk Che Azemi Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Abdul Rahim berkata sejajar dengan dasar telekomunikasi dan juga keperluan komunikasi masyarakat di negara ini, TM sentiasa mengorak langkah ke hadapan dengan pelbagai produk serta perkhidmatan terkini berasaskan jalur lebar.

"Kita harus berbangga dengan tahap telekomunikasi di negara ini yang merupakan hasil usahasama pelbagai entiti di bawah Pelan Jalur Lebar Negara," katanya.

Kempen tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2014 dengan tema 'Jalur Lebar Untuk Pembangunan Mapan.'

"Kempen ini diadakan bermula 2 hingga 15 Jun ini dengan pengisian pelbagai acara menarik," katanya.

Beliau berkata WTISD disambut setiap tahun sejak sejak 45 tahun lepas bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai manfaat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) .

- Bernama 

No comments:

Post a Comment