Cristiano Ronaldo berjaya membuka jaringan peribadinya dalam Piala Dunia namun gagal membawa Portugal meneruskan aksi di peringkat kalah mati.
Cristiano Ronaldo akhirnya menamatkan kemarau jaringan dalam Piala Dunia 2014 ini dengan menjaringkan gol kemenangan Portugal ketika menewaskan Ghana 2-1 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G di Estadio Nacional Mane Garrincha di Brasilia awal pagi tadi.
Namun, jaringannya itu tidak cukup untuk memintas Amerika Syarikat dan membawa Portugal ke peringkat pusingan kalah mati.
Amerika Syarikat yang tewas 0-1 kepada Jerman terikat empat mata dengan Portugal malah kedua-dua negara juga terikat dengan jumlah jaringan yang sama iaitu empat gol.
Namun kelebihan hanya empat gol bolos buat Amerika Syarikat berbanding Portugal yang mempunyai tujuh gol bolos memberi kelebihan buat Amerika Syarikat untuk maju ke peringkat seterusnya.
Ghana yang terpaksa melupakan khidmat dua pemain utama mereka, Sulley Ali Muntari dan Kevin-Prince Boateng yang dipecat daripada skuad tersebut berikutan masalah dalaman dengan pengurusan pasukan dipaksa bekerja keras untuk mengekang asakan daripada pemain-pemain Portugal.
Portugal kemudian berjaya mendapatkan gol pertama apabila bola hantaran Joao Moutinho tertampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Ghana, John Boye.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Ghana menggandakan asakan dan hasilnya pada minit 57 separuh masa kedua, penyerang Asamoah Gyan berjaya menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk bola hantaran Kwadwo Asamoah.
Pelbagai cubaan berbahaya dihasilkan oleh Ronaldo namun ketangkasan penjaga gol Ghana, Fatawu Dauda mengagalkan sebaga usahanya untuk membuat jaringan sehinggalah pada minit ke 80 apabila kesilapan Dauda yang cuba menolak bola keluar dari kawasan berbahaya di kotal penalti Ghana singgah di kaki Ronaldo yang mudah merembat masuk bola ke gawang Ghana untuk jaringan kedua Portugal.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Manakala dalam satu lagi perlawanan, Jerman menang tipis 1-0 keatas Amerika Syarikat yang menyaksikan kedua-dua pasukan layak ke peringkat kalah mati dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Pernambuco di Recife.
Gol tunggal Jerman dijaringkan oleh Thomas Muller dan ini merupakan jaringan keempat Muller dalam Piala Dunia 2014.
Beliau berkongsi pendahulu penjaring terbanyak bersama Lionel Messi (Argentina) dan Neymar (Brazil).
Dengan kemenangan itu, Jerman muncul sebagai juara Kumpulan G diikuti Amerika Syarikat yang berkongsi mata dengan Portugal tetapi dibezakan dengan jumlah gol yang dibolosi manakala Ghana berada di tenpat terakhir dengan hanya satu mata.
Portugal yang mendapat tempat ketiga pada Piala Dunia 1966 dan keempat pada Piala Dunia 2006 kini menyertai jejak Sepanyol, Itali dan England sebagai antara pasukan pilihan yang tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia kali ini.
- Astro Awani
No comments:
Post a Comment