Tuesday, 10 June 2014

Hikayat seorang gelandangan disebalik wajah kemajuan

KUALA LUMPUR: Sekali pandang dia kelihatan seperti insan biasa, ringkas berkemeja “T” dan sepasang “jean”.

Namun hakikatnya Lan, itu nama yang diberikan – seorang gelandangan. Dia hanya berlapikkan surat khabar, mengelak tubuh dari rasa sakit dan sejuk ketika tidur di anak tangga stesen LRT Masjid Jamek, dengan harapan dapat lena dibuai mimpi indah.

“Di sinilah tempat saya bermalam sejak setahun yang lalu,” kata Lan, 33.

Kata Lan, dia dihalau keluar dari rumah keluarga oleh kakaknya beberapa hari selepas Hari Raya – punca yang beliau sendiri lebih mengetahui.

“Saya telah berubah. Saya telah berjanji. Saya tidak faham kenapa kakak tergamak melakukan perkara ini terhadap saya. Saya tiada sesiapa selain anggota keluarga,” kata Lan, jelas nampak raut kekesalan di wajahnya.

“Pernah saya bekerja sebagai juru teknik, tetapi diberhentikan, sebelum mencuba nasib pula sebagai pemandu lori, kesudahannya dia dipecat juga.”

Lan mendakwa dia tidak dilayan seadilnya.

“Bukan mudah untuk mendapatkan kerja. Bagaimana hendak memulakan hidup baru sekiranya tiada siapa yang ingin memberi peluang untuk saya?” tanya Lan.

Lan adalah salah seorang daripada ramai gelandangan yang menjadikan Jalan Tun Perak “istana hinggap" mereka, semuanya ada kisah tersendiri untuk diceritakan.

Antaranya Eng Tek Shoi, 60, menjadikan kaki tangga di pinggir Bangunan Kota Raya sebagai tempat tidurnya saban malam.

Dilahirkan serta dibesarkan di Sungai Petani , Kedah, Eng berhijrah ke Kuala Lumpur seminggu yang lepas dengan harapan mencari pekerjaan yang bersesuaian . Katanya, di kampung dia mengambil upah bekerja di sebuah dusun.


Malangnya, wang simpanan habis dibelanjakan semasa mencari pekerjaan di ibu kota dan kini pokai tanpa ada tempat tinggal.

“Saya mahu pulang ke Sungai Petani tetapi tidak mampu membeli tiket bas,” Eng berkata.

“Saya hanya mampu meminta makanan daripada orang ramai dan adakalanya rakan-rakan turut memberi makanan kepada saya. Makanan yang saya diberikan tidaklah mewah, tetapi cukup untuk mengalas perut,” Eng menambah.

Eng juga mendakwa dia tidak mempunyai sesiapa di kampung halaman.

“Saya tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak. Jika saya pulang ke Sungai Petani, saya masih tiada siapa-siapa di sana, tetapi sekurang-kurangnya itu adalah kampung halaman saya,” akhiri Eng sambil merenung kosong. - ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment